Sungguhpun sudah 20 tahun bergelar penyanyi, namun Liza Hanim masih tidak betah dengan perubahan industri muzik hari ini yang lebih terarah ke format digital.
Mengakui sedikit terkesan dengan peralihan tersebut, Liza yang dahulunya membesar dalam gawang muzik konvensional terpaksa akur dengan peredaran masa.
Ujarnya, seperti kebanyakan penyanyi muda lain, platform media sosial dilihat lebih ke hadapan dalam menjadi medium utama zaman ini untuk mempromosikan karya atau produk masing-masing.
“Kebanyakan penyanyi muda dilihat lebih selesa menggunakan Instagram untuk menghebahkan tentang lagu-lagu terbaharu mereka.
“Walaupun jauh berbeza dengan cara promosi ketika saya mula-mula masuk ke dalam industri, namun harus diakui bahawa cara tersebut sangat berkesan,” kata Liza sewaktu pelancaran single terbaharunya, Mimpi di Soireelab Putrajaya baru-baru ini.
Tidak mahu terus ketinggalan, Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 39, menggunakan Instagramnya untuk menyalurkan informasi terkini mengenai karier terus kepada peminat.
“Jika dahulu hanya berkongsi tentang hal berkaitan keluarga, kini, saya jadikan Instagram sebagai platform utama untuk mempromosikan lagu atau kegiatan seni.
“Selain mudah, ia juga dekat dengan peminat,” katanya yang kadang-kala perlu bertanya kepada anak-anak setiap kali mengalami kesukaran untuk menggunakan sebarang platform media sosial.
Berkenaan dengan single terbaharunya iaitu Mimpi, Liza berkata, lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fedtri Yahya itu merupakan sebuah karya yang sangat istimewa.
Menurut pelakon filem KL Menjerit itu, sewaktu pertama kali mendengarkan demo untuk lagu Mimpi, hatinya telah tertawan, terutama pada bahagian korusnya.
“Saya rasakan bahagian korus lagu Mimpi sangat berhantu. Selepas mendengar buat pertama kali, saya mahu dengarkannya lagi.
“Apabila ada perasaan sebegitu, saya yakin bahawa peminat juga akan merasai perkara yang serupa,” katanya yang merakamkan vokal untuk lagu tersebut sebanyak dua kali bagi mendapatkan hasil terbaik.
Terharu
Menurut Liza, selepas dilancarkan pada platform digital sekitar dua minggu lalu, dia menerima respons yang sangat memberangsangkan daripada peminat.
Hal ini kerana, Liza pernah menyepi tanpa sebarang single utama hampir sembilan tahun dan Mimpi dianggap sebagai ubat rindu buat peminat yang selama ini tidak pernah berhenti memberi sokongan kepadanya.
“Ketika Mimpi diluncurkan di platform digital, seorang peminat merakamkan video sedang mendengar lagu tersebut. Dia kemudian menghantar video tersebut menerusi pesanan mesej di Instagram dengan ucapan terima kasih.
“Sejujurnya, saya berasa sangat terharu kerana niat asal untuk menghadiahkan lagu ini kepada peminat telah bertukar.
“Ia menjadi hadiah bermakna buat saya daripada peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan terhadap karier nyanyian saya selama ini,” katanya dalam nada terharu.
Dalam perkembangan lain, Liza yang kini di bawah pengurusan LOL Entertainment juga merancang untuk mengadakan persembahan mini khas untuk peminatnya.
“Idea untuk adakan persembahan mini itu ada. Cuma, saya perlukan masa yang banyak untuk duduk berbincang bersama syarikat pengurusan.
“Biarpun nampak mudah, persembahan tersebut memerlukan penelitian dari sudut vokal dan juga lagu-lagu yang merupakan hak milik syarikat rakaman terdahulu,” kata Liza yang sebelum ini pernah bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records.