Jamal Abdillah dan isterinya, Datin Zai Izzati Khairuddin.
Selepas 11 bulan berumah tangga, penyanyi popular Datuk Jamal Abdillah akhirnya membawa isterinya, Datin Zai Izzati Khairuddin, 24, di hadapan khalayak ramai.
Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Pop itu turut mengakui pada awal perkenalannya, dia tidak mengenali wanita tersebut dengan mendalam.
"Saya tiada niat untuk menyembunyikan isteri daripada khalayak ramai kerana kami telah sah berkahwin. Syukur, sewaktu majlis perkahwinan dilakukan, segalanya dipermudahkan.
"Bagi saya, perkahwinan pada usia 59 tahun ini merupakan satu anugerah Tuhan. Saya akan berusaha untuk menjaganya sebaik mungkin memandangkan jarak usia kami adalah 35 tahun," katanya ketika ditemui pada majlis di sini petang tadi.
Dalam pada itu, Zai Izzati memberitahu, perkahwinan dengan penyanyi lagu Sandarkan Pada Kenangan secara tidak langsung mematangkan dirinya.
"Sepanjang tempoh dua bulan berkenalan pada tahun lalu, kami tidak banyak bertemu kerana sibuk dengan urusan masing-masing.
"Meskipun hampir setahun berumah tangga tetapi kami masih dalam tempoh berkenalan antara satu sama lain dan berusaha memahami diri masing-masing," katanya.
Pasangan berkenaan berkahwin pada 1 April 2017 dan ini merupakan perkahwinan keempat Jamal.
Hasil daripada perkahwinan terdahulu, Jamal memiliki dua orang cahaya mata, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.