Selepas melahirkan anak pertama, Eshaal, pada 17 Februari tahun lalu, penyanyi bertubuh genit, Ummu Shaikhah Stacy Anam, atau lebih dikenali sebagai Stacy memilih untuk berehat seketika daripada dunia seni.
Bagaimanapun, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad ini kini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk membuat kemunculan semula di pentas muzik selepas kira-kira setahun berehat.
Malah kemunculannya ketika acara pembukaan pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) baru-baru ini juga mendapat pujian kerana tampil dengan persembahan bertenaga selain fizikalnya yang kelihatan tampak lebih langsing.
Menurut anak kelahiran Penampang, Sabah itu, dia mengambil masa yang agak lama untuk kembali aktif dalam dunia muzik tempatan kerana mahu dilihat lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Saya mahu dilihat lebih bersedia untuk membuat kemunculan semula selepas melahirkan anak. Selain itu, saya juga perlu berusaha keras untuk mengekalkan stamina dan mengembalikan bentuk badan seperti sebelum hamil.
“Saya tidak mahu khalayak melihat terdapat cacat cela di sana sini apatah lagi baru melahirkan anak. Sudah tentu orang akan menganggap saya tidak selincah dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Program Skim Latihan 1Malaysia di Philea Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Disiplin ketat
Kongsi pelantun Cakap Ke Tangan itu, menerusi pemakanan yang teratur dan disiplin ketat, dia berjaya mengurangkan berat badan kepada 50 kilogram (kg) berbanding 70kg ketika hamil.
“Mendapatkan berat badan seperti sekarang bukan mudah. Hati kena kental dan perlu berusaha lebih selain disiplin diri itu penting.
“Sebenarnya saya tidak ikuti diet khusus tetapi apabila difikirkan kembali, amalan berpantang juga memberi kesan pada penurunan berat badan saya,” jelasnya.
Kongsi wanita yang kini berusia 28 tahun itu lagi, dia merasai perubahan pada dirinya yang tampak lebih baik berbanding sebelum hamil selepas melalui amalan berpantang yang ketat.
Walaupun berdepan kesukaran pada permulaan proses menurunkan berat badan, Stacy tetap optimis sehingga membeli tiga jenis penimbang untuk mengetahui berat badannya.
“Jika kerap timbang juga tidak bagus kerana ada ketikanya berat badan turun dan ada masa yang lain pula naik. Oleh itu saya memilih untuk melakukan senaman di gimnasium dengan bantuan jurulatih peribadi dan dalam tempoh tiga bulan dapat berbangga melihat hasilnya,” tuturnya.
Single terbaharu
Beralih kepada perkembangan terkini, Stacy yang juga juara program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu mempunyai perancangan untuk mengeluarkan album penuh tetapi buat masa ini, dia mahu fokus kepada single terbaharunya yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
“Saya memilih untuk mengeluarkan single dahulu berbanding album. Jika semuanya berjalan lancar, single bergenre rancak berjudul Raja ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong akan dikeluarkan dalam masa terdekat tetapi itu semua bergantung kepada pihak pengurusan.
“Sebenarnya perancangan untuk menghasilkan single ciptaan mereka berdua ini sejak tahun lalu. Kebetulan mereka ada menghasilkan demo untuk diperdengarkan dan saya menyukainya,” jelasnya yang telah membuktikan kepada dunia seni tempatan sebagai penyanyi yang mampu membawa pelbagai genre muzik dengan baik.
Ujar pelantun lagu Gagap itu lagi, melihatkan trend terkini yang lebih terarah kepada penghasilan single, tidak salah sekiranya seseorang penyanyi itu mempunyai album.
“Bagi saya, album merupakan profil buat penyanyi itu sendiri kerana percaya setiap penyanyi perlu memilikinya dan tidak kira bagaimanapun sambutan terhadap album tersebut,” katanya melontarkan pendapat.
Duet
Tidak terburu-buru, Stacy mempunyai perancangan tersendiri untuk menghasilkan album penuhnya itu.
“Saya berhasrat untuk mengeluarkan album penuh tetapi masih dalam perancangan kerana mahu menampilkan kelainan dalam album itu nanti.
“Barangkali ia membabitkan kelainan dari segi muzik dan susunan vokal. Hal ini kerana suara saya sudah berubah dari segi kematangan, jika dulu lebih halus tetapi kini kedengaran kasar,” tambahnya yang tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan not lagu atau lirik bernada tinggi.
Selain itu, Stacy juga tidak menolak untuk mencuba muzik bergenre balada pada masa akan datang malah turut memberi perkhabaran gembira buat peminatnya apabila bakal berduet dengan suaminya yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim.
Single duet itu merupakan kolaborasi kali pertama mereka selepas bergelar pasangan suami isteri pada 5 Februari 2016.
“Sebenarnya kerjasama duet dengan Akim ini merupakan antara yang ditunggu peminat. Ramai yang bertanyakan bila kami mahu berduet apatah lagi kedua-duanya bergelar penyanyi.
“Untuk itu, kami sepakat untuk berduet dan masih dalam proses mencari bahan untuk lagu duet itu nanti. Cuma kami masih menunggu lagu yang tepat untuk diketengahkan nanti dan jika tiada aral melintang, single duet kami akan dilaksanakan dalam tahun ini juga,” jelasnya mengakhiri perbualan.