Hampir 15 tahun tidak membuat persembahan bersama, akhirnya kumpulan Spring yang pernah menjadi fenomena sekitar tahun 90-an kembali bersatu di atas pentas untuk mini konsert yang berlangsung di D’Saji Tititwangsa baru-baru ini.
Sempat menyanyikan hampir 10 buah lagu seperti Butakah Cinta, Sejiwa dan Pesanan Untuk Kekasih yang pernah menaikkan nama mereka dalam industri suatu ketika dahulu, ternyata ia sedikit sebanyak berjaya mengubat kerinduan peminat setia yang tidak putus-putus memberi sokongan.
Menurut Ameng selaku vokalis Spring, idea untuk mengadakan sebuah persembahan khas tersebut tercetus daripada permintaan peminat sendiri yang tidak jemu bertanya sehingga ia mengundang rasa serba salah kepada dirinya.
Mengakui tidak mudah untuk mengumpulkan semula semua anggota lama yang kebanyakannya sudah mempunyai pekerjaan sendiri, Ameng bersyukur kerana ia dipermudahkan walaupun ada ahli yang tidak dapat memberi komitmen.
“Bagi persembahan pada malam ini, terdapat dua orang anggota yang tidak dapat memberikan komitmen seperti Acong dan Iskandar kerana mempunyai kekangan yang tidak dapat dielakkan.
“Saya juga ingin mengumumkan bahawa Iskandar tidak akan bersama Spring selepas ini kerana mengalami sakit gout yang serius. Pada mulanya saya ingatkan dia merajuk, namun selepas membuat pertemuan, Iskandar mengakui dia sudah tidak boleh memetik gitar,”ujarnya lagi.
Tambah Ameng, tempat Iskandar selaku gitar utama akan diganti secara tetap oleh Umarul yang pernah menganggotai kumpulan Iklim.
Kembali bersama
Dalam pada itu, Ameng juga memberitahu, pentas persembahan mini yang diadakan diharap menjadi titik permulaan semula kumpulan Spring untuk kembali mewarnai industri muzik tanah air.
Tidak mahu lagi sekadar berkumpul untuk satu persembahan sahaja, mereka kini serius untuk menerima sebarang undangan.
Tambah Ameng, mungkin buat masa sekarang Spring belum mempunyai perancang jangka panjang, namun mahu menjadikan tahun 2018 sebagai tempoh percubaan untuk kembali relevan selaku kumpulan penyanyi.
“Sudah ada beberapa tawaran yang diterima untuk membuat single baharu, namun kami masih belum duduk berbincang dengan baik. Insya-Allah, akan ada buah tangan terbaharu tidak lama lagi.
“Kami akan cuba yang terbaik untuk kemunculan semula ini dan walaupun saya sendiri sibuk dengan projek solo, namun saya berjanji komitmen bersama Spring tidak akan diabaikan,” jelasnya lagi.