Hasrat Altimet sebelum bersara


Umum sedia maklum dengan berita pengunduran diri penyanyi Altimet daripada dunia hiburan pada tahun lalu seiring dengan usianya yang bakal mencecah 40 tahun, November depan.

Bagaimanapun, tatkala dirinya nekad mengundurkan diri demi memberi ruang kepada penyanyi baharu, hadir pelbagai bentuk rezeki yang sukar ditolak.

Dijulang dengan trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi pada malam Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) baru-baru ini, ia bagaikan bonus buat Altimet untuk lebih bersemangat dan aktif dalam industri.

Namun, sesuatu yang berbeza diputuskan penyanyi berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu. Altimet menyifatkan kejayaan tersebut sebagai isyarat, tibalah masa untuknya mengibarkan bendera putih dan menyerahkan takhta ‘Raja Rap’ yang dipegangnya selama ini kepada penyanyi lain.

“Empat kali saya berjaya ke pentas AJL dan setakat ini tiada lagi mana-mana penyanyi rap lain yang bertanding sebanyak ini seperti saya.

“Sebab dalam industri, artis tidak ada surat tawaran atau berhenti kerja seperti bidang lain. Sebagai contoh, saya ambil Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membuka jalan kepada orang baharu dengan pengundurannya dalam AJL.

“Kita sedia maklum dengan kedatangan ramai pendatang baharu tetapi ironinya tidak ada orang yang tunjuk jalan keluar daripada industri dengan cara betul,” ujarnya ketika ditemui sewaktu meraikan kejayaan AJL32 bersama seramai 40 orang anak-anak yatim dari Pusat Pengurusan Al-Firdaus, Denai Alam, Shah Alam, Selangor di sebuah restoran baru-baru ini.

Tekad dengan keputusan tersebut, pemilik nama sebenar, Ahmad Abdul Rahman itu bagaimanapun menjelaskan, dia tetap kekal dalam industri dan terus berkarya menghasilkan lagu terutama buat penyanyi lain tetapi sama sekali tidak akan menyanyi lagi.

“Pendek kata, selepas ini saya hanya akan buat kerja di belakang tabir seperti buat lagu. Orang cakap saya berundur demi memberi ruang kepada penyanyi rap baharu, sedangkan pada masa ini, generasi pelapis sangat kurang.

“Jawapan saya mudah. Ia berlaku kerana mungkin tiada sesiapa bimbing dan membantu menaikkan mereka. Industri kita sebenarnya ada penyanyi rap yang baik, sama ada lelaki mahupun wanita, cuma mungkin nasib tidak menyebelahi. Jadi, saya sedia membantu andai mereka memerlukan sebarang pertolongan,” tutur Altimet.



Mambang

Ibarat ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, ternyata kredibiliti pelantun lagu Kotarayaku itu sebagai pencipta lagu dan penyanyi rap masih ditagih peminat.

Belum reda hangat kemenangan yang diraih pada AJL32, nama Altimet tiba-tiba menjadi perbualan ramai peminat gara-gara lirik lagu baharunya berjudul Mambang disalahertikan sesetengah pihak.

Lagu yang baru dilancarkan hujung Februari lalu terus mencipta sohor kini di laman carian YouTube sehingga mencatatkan hampir 800,000 kali tontonan.

Perkara yang membuatkan ia mendapat perhatian adalah disebabkan tulisan lirik yang dianggap peminat seolah-olah memerli seseorang, sementelah Altimet sendiri cukup terkenal dengan identiti menulis lagu bersandarkan teguran dan sindiran sosial.

“Seseorang yang dikaitkan dalam lagu itu adalah penyanyi rap juga. Kalau mengikut telahan orang ramai, mereka mengandaikan saya memerli Malique.

“Namun, hakikatnya lagu tersebut saya tujukan kepada diri sendiri, bukan orang lain. Contoh dalam lagu Amboi pun, saya ada tulis lirik yang berbunyi, ‘bukan nak sekolahkan korang, aku bahasakan aku’. Itu bermakna saya tulis lagu lebih kepada menegur keperibadian sendiri,” katanya.

Jelas pemenang kategori Lagu Hip Hop Terbaik menerusi lagu Janji pada Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM22) itu lagi, idea penghasilan lagu Mambang hadir daripada perbualannya bersama seorang teman berkisarkan perjalanan kariernya dari dahulu hingga sekarang yang banyak berubah.

Meskipun sedar perkara sebegitu akan timbul, namun jauh di sudut hati Altimet, dia tidak pernah terfikir untuk menghentam orang lain dalam naskhah seninya.

“Ada kawan kata, saya telah banyak berubah dari segi hala tuju muzik. Kalau dahulu saya selalu inginkan persaingan dengan penyanyi rap lain tetapi sekarang lagu-lagu saya lebih berunsur penceritaan.

“Saya sendiri akui, zaman muda dahulu saya agak baran dan jarang mengaku kesalahan sendiri. Jadi, menerusi lagu Mambang, saya ‘tembak’ diri saya yang dahulu. Kalau orang masih tidak terima penjelasan ini, terpulanglah sebab saya sudah jelaskan semuanya termasuk di laman Twitter,” jelasnya.



Terakhir

Pencapaian demi pencapaian diraih Altimet, walhal ironinya hanya tinggal beberapa bulan sebelum menuju tarikh persaraannya pada November depan.

Bermula dengan AJL32, kini lagu Mambang pula mendapat perhatian luar biasa peminat. Namun, itu tidak sedikit pun melenturkan bulat hatinya untuk melepaskan gelaran sebagai penyanyi rap. Bersara tetap bersara dan Altimet tidak akan sesekali berpaling daripada hasratnya.

“Saya tetap akan bersara walaupun rezeki sedang melimpah-ruah. Saya sangat bersyukur dengan semua ini tetapi tekad saya untuk bersara tetap utuh.

“Kalau bukan sekarang, bila lagi saya mahu bersara? Inilah waktu yang tepat untuk mengundurkan diri kerana secara jujur saya mahu melihat kebangkitan penyanyi rap muda yang lain. Keputusan bersara itu hanya akan ditarik balik jika ibu saya mahu bantah,” ujarnya.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian, Altimet bakal mengeluarkan dua buah album selain merancang mengadakan konsert jelajah sebagai hadiah buat peminatnya.

Sebuah album akan dilancarkan pada hujung Mac ini yang berjudul Air, manakala sebuah lagi akan dikeluarkan November depan.

“Memang ada dalam perancangan untuk membuat konsert jelajah tetapi saya mahu ia dibuat secara eksklusif. Maksudnya dari segi kuantiti peminat yang hadir nanti.

“Mungkin ia akan dibuka kepada 100 orang peminat sahaja, itu contoh sahaja. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan, kita tengok sahajalah macam mana nanti,” tutupnya menggulung perbualan sambil tersenyum ceria.


Post a Comment

Previous Post Next Post