Uji (kiri) bertemu Noh Omar bersama anak dan cucunya baru-baru ini untuk memohon rumah PPR.
Penyanyi veteran, Uji Rashid telah diarahkan mengosongkan rumahnya di Taman Dagang, Ampang di sini dipercayai kerana gagal membayar sewa.
Berita sedih itu dikongsi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menerusi akaun Instagramnya apabila penyanyi itu bersama anaknya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico, 39, dan cucunya hadir ke pejabat kementerian berkenaan bagi meminta bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Tambah Noh, disebabkan permohonan Uji Rashid menepati syarat, maka beliau telah memberi kelulusan khas untuk penyanyi itu dan keluarganya mendiami rumah berkenaan.
“Beliau (Uji Rashid) ada memohon rumah PPR sebelum ini dan saya diberi maklum beliau akan diusir dari rumah sewa di Ampang dalam masa terdekat atas sebab yang sangat menyedihkan.
“Memandangkan permohonan menepati syarat, saya beri kelulusan khas untuk beliau dan keluarga dapat mendiami PPR dengan segera.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sinar baru dalam kehidupan Uji Rashid sekeluarga,” katanya seperti dikongsi dalam Instagram miliknya kelmarin.
Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid yang popular pada sekitar tahun 1970-an sehingga 1980-an merupakan ibu tunggal dan pendapatan beliau bergantung sepenuhnya kepada kerjaya seninya.