Hans Isaac bawa diri ke London Mei depan


Hans lebih selesa fokus kepada diri sendiri dengan aktiviti di gimnasium, sukan dan kerjaya berbanding memikirkan tentang insiden putus tunang dengan Gabriella Robinson pada Oktober lalu.

Tidak semua yang dirancang akan berlaku seperti diharapkan. Begitu juga dengan harapan pengacara dan penerbit, Datuk Hans Isaac apabila keinginannya untuk menamatkan zaman bujang pada tahun lalu tidak kesampaian.

Mengakui masih terkesan dengan insiden tersebut, artis berusia 47 tahun itu bagaimanapun meneruskan kelangsungan dengan menyibukkan dari dalam pelbagai aktiviti sukan dan seni.

Bukan bermaksud masih menyimpan perasaan terhadap bekas tunangnya, Gabriella Robinson tetapi pelakon filem Persona Non Grata itu meluahkan rasa terkilan apabila impiannya untuk berumah tangga tidak kesampaian.

Meskipun enggan mengulas panjang mengenai punca kejadian putus tunang yang berlaku pada Oktober lalu, Hans mengakui masih belum bersedia untuk menjalin hubungan cinta dalam tempoh terdekat.

Bukan sahaja bercerita tentang gelora jiwa perihal cinta, Hans yang ditemui pada majlis sidang akhbar pementasan Lawak Ke Der turut berkongsi mengenai program tersebut yang kini memasuki penganjuran kali keenam.

Bertindak selaku penerbit, Hans yakin pertaruhan barisan pelawak yang terdiri daripada Datuk Afdlin Shauki, kumpulan Shiro, Shuk, Sherry Al-Hadad, Gurmit Singh dan penampilan istimewa, Datuk Zainal Abidin.



KOSMO!: Bagaimanakah keadaan Hans selepas kejadian putus tunang sekitar Oktober lalu?

HANS ISAAC: Secara peribadi saya masih berasa sakit dan patah hati dengan insiden itu. Namun, segalanya telah berlaku dan hidup perlu diteruskan. Saya akui, selepas perkara itu (putus tunang) membuatkan keinginan untuk berdepan dengan khalayak tiada.

Disebabkan itu, saya memilih untuk menyibukkan diri dengan kerjaya dan aktif dalam aktiviti sukan.

Tidak hanya itu, saya lebih kerap menghabiskan masa bersama keluarga dan bercuti ke luar negara.

Segalanya itu dilakukan dengan harapan agar saya dapat melupakan segala perkara buruk yang berlaku dan memulakan hidup baharu.

Terus terang, selama tiga bulan saya banyak menghabiskan masa di gimnasium, bercuti dan mengembara ke luar negara. Pada saya, ia lebih banyak memberi ketenangan.

Sekiranya tidak keberatan, bolehkah kongsikan mengapa kalian memilih untuk memutuskan ikatan pertunangan?

Tiada apa yang perlu diperincikan kerana segalanya telah berakhir. Apa yang pasti, kami kini saling tidak berhubung mahupun bertanya khabar antara satu sama lain.

Pada saya, setiap hubungan memerlukan komitmen daripada kedua-dua belah pihak. Dalam situasi ini, hanya saya telah memberi komitmen 100 peratus.



Adakah kejadian putus tunang itu membuatkan anda serik untuk menjalin hubungan istimewa semula?

Saya akui rasa sakit itu masih ada kerana apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan memandangkan bukan mudah untuk membuat keputusan mendirikan rumah tangga.

Bagi individu yang cuba untuk mendampingi, mungkin perlu banyak bersabar dan memahami keadaan saya selepas kejadian itu. Buat masa sekarang, pada saya cinta itu 60-40 peratus sama ada untuk mempercayainya atau tidak.

Adakah kalian berdua masih saling berhubung antara satu sama lain?

Setelah apa yang berlaku, saya akui kami saling tidak berhubung, apatah lagi bertanya khabar antara satu sama lain. Terus terang saya telah memadam kesemua gambar termasuk nombor telefon dan saling tidak mengikutinya di sosial media.

Pada saya, tiada apa yang perlu dikatakan lagi kerana segalanya telah berakhir. Saya selesa menjalani kehidupan sekarang dan memberi fokus kepada diri sendiri.

Memandangkan anda kini telah berusia 47 tahun, tidakkah perkara itu memberi tekanan agar segera berumah tangga?

Pada saya, usia tidak mendesak dan begitu juga cinta. Saya menginginkan perkahwinan yang kekal hingga ke akhir hayat. Saya tidak mahu berkahwin dan kemudian bercerai kerana itu semua perkara mengarut.

Pada saya setelah berkahwin, tidak kira apa jua berlaku, saya akan mempertahankan dan menjaga perkahwinan tersebut sebaik-baiknya. Bagaimanapun buat masa sekarang, saya masih memerlukan waktu sekitar tiga tahun untuk melupakan insiden tersebut.

Justeru, disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk mengambil kursus pendek di London dalam jurusan Teknikal Teater selama dua bulan. Saya akan berangkat ke sana pada 2 Mei depan.

Bolehkah anda kongsikan tentang pementasan Lawak Ke Der yang bakal berlangsung pada 29 hingga 31 Mac ini di Istana Budaya?

Ini merupakan penganjuran Lawak Ke Der kali keenam sejak pertama kali diperkenalkan pada 2012 yang diterbitkan oleh rumah produksi saya, Tall Order Sdn. Bhd. Pada kali ini, kami menampilkan kelainan dengan menjemput Datuk Zainal Abidin sebagai salah seorang artis yang bakal membuat persembahan.

Ia mungkin kelihatan janggal apabila artis yang sememangnya terkenal dalam bidang nyanyian membuat jenaka di atas pentas.

Sekiranya peminat ingin tahu bagaimana persembahan beliau, boleh dapatkan tiket di airasiaredtix.com pada harga RM58, RM88, RM118, RM148, RM178, dan RM208. Potongan 15 peratus diberikan kepada pelajar dan warga emas.

Post a Comment

Previous Post Next Post