Terowong masa yang dilalui menemukan Que Haidar pada suatu titik. Dia pernah merangkak sebelum sampai ke puncak, namun kemudian menoleh meninggalkan lubuk emas kegilaan banyak anak seni lain dengan alasan yang payah untuk dimengertikan. Dia hilang dari radar industri dalam satu jangka masa agak lama.
Tekadnya bulat dan sampai ke hari ini, Que membuktikan pendiriannya yang sukar ditembusi peluru tawaran. Tiga tahun setelah kali terakhir muncul dengan drama Cahaya Malaika (2015) dan filem Ophilia (2014); baru tanggal hari ini iaitu 3 Mac 2018, kerja lakonan terbaharunya, Malek akan memasuki ruang tontonan peminat.
Pendirian yang dimulai sejak 2010, menjadikan wajahnya cukup ‘eksklusif’ dan muncul hanya dalam karya terpilih.
Jarak masa yang diambil sedikit ‘gila’ tetapi itulah fasa kesenian yang sebenarnya telah menjadi separuh daripada kehidupan lelaki bernama Tengku Iskhan Shah Tengku Iskandar, 39.
Pernah dikhabarkan merajuk dengan industri, kemudian mengumumkan penglibatannya dalam karya dikehendaki sahaja, Que sebenarnya tidak pernah meninggalkan dunia lakonan.
Dia sebaliknya meletakkan banyak sisi harus diperhitungkan sebelum berkata ‘ya’ terhadap sesebuah projek yang menamakan dirinya sebagai antara pembawa karakter,
“Saya sukakan istilah antihero. Biarpun membawa watak hero atau watak utama ia tidak semestinya putih seputih-putihnya, jika hitam (jahat) tidak harus sehitam-hitamnya.
“Saya memilih untuk menjadi ‘manusia’ dalam lakonan. Realitinya manusia ada sifat jahat dan baik.
“Sebelum bersetuju terima sesuatu tawaran, saya kena pastikan saya gembira (puas hati), barulah saya akan menggembirakan seluruh produksi. Satu hal lagi, cara kerja. Apabila saya mahu buat, maknanya saya tumpahkan seluruh tenaga untuk menjayakan kerja tersebut,” katanya.
Terdidik dan percaya bahawa lakonan adalah profesion serius yang memerlukan ilmu sama seperti doktor atau peguam, Que memberikan sejentik pandangan peribadi.
“Tidak kisah bagaimana jalan yang membawa seseorang individu itu menjadi pelakon. Ada yang popular dengan sebab lain kemudian diambil jadi pelakon dan berjaya, itu rezeki masing-masing.
“Ada yang mencari ilmu lakonan terlebih dahulu barulah terjun ke bidang lakonan, jadi terpulang. Tetapi, bagaimana seseorang pelakon itu menghormati kerjaya lakonan. Kalau tiada ilmu, pergi belajar, itu juga penting,” lontarnya.
Relevansi
Bertahun tiada perkhabaran tentang karya terbaharu, gerakan publisiti kecil-kecilan sempena kemunculan drama Malek yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Citra dan Mustika HD pukul 9 malam ini, membuka perbualan lebih intim tentang pilihan-pilihan dan perhitungan yang menebal dalam fikiran Que berhubung kerja lakonan.
Bercakap tentang momentum dan kerelevanan wajahnya sebagai pelakon pada era tular ketika ini, mudah sahaja definisi Que tentang dua istilah penting kebanyakan artis tersebut.
“Saya tidak fikir soal momentum. Apa yang dijalani, inilah momentum hidup saya. Soal sudah tidak relevan atau sudah tidak popular untuk tarik penonton sekarang, jawapannya begini, memandangkan ibu-ibu atau mak-mak yang kenal saya, malam ini mereka yang harus pegang alat kawalan televisyen.
“Jangan bagi peluang anak-anak tukar saluran lain masa Malek tengah tayang,” geram nadanya seloroh Que.
Dari matanya, jelas banyak kebimbangan sedang bersarang, terutama memikirkan cita rasa penonton yang berbeza-beza.
“Bagi khalayak yang tidak kenal Que atau mungkin lupa, saya percaya selepas menonton Malek, insya-Allah mereka akan ingat dan kenal saya. Namun, bukan tujuan utama setiap kali saya berlakon, tetapi bonus selepas segala perbincangan dan kerjasama sama dilakukan sebelum, semasa dan selepas pembikinan,” katanya.
“Untuk penonton yang mungkin fikir, Malek bukan jenis cerita yang diminati, saya cuma boleh jamin bahawa mereka dapat menghadam jiwa dan rasa yang saya pinjamkan untuk watak Majid dalam drama itu,” jelas Que dalam suara bergetar.
Sebelum kemunculan Malek, Que akui masih menerima tawaran lakonan biarpun banyak pihak tahu kesukaran menerima jawapan yang dimahukan daripadanya.
“Tawaran memang ada, bayaran yang ditawarkan juga sama macam dulu-dulu. Tetapi, seperti yang selalu saya tekankan, semuanya bergantung kepada banyak perkara, skrip dan keseluruhan. Adakalanya tawaran terpaksa ditolak kerana tidak kena masa. Ada juga tawaran diterima kerana kawan,” ujarnya.
Selepas dikenali sebagai pelakon, diiktiraf dengan trofi anugerah, miliki peminat dan pengaruh dalam industri, Que mula memikirkan apa lagi corak kelangsungan hidupnya sebagai anak seni.
Itu antara penyebab yang menolaknya jauh ke belakang tabir. Dia selesa terlibat dengan bengkel dan bergelar pengajar seni lakon kepada generasi yang serius mahu belajar menjadi pelakon berilmu.
Malek
Kecenderungan ke arah perkongsian ilmu lakonan jugalah yang meletakkan Que sebagai Penasihat Industri sebuah badan bukan kerajaan, Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF) sejak empat tahun lalu.
Antara peranannya bersama ISKAF adalah menjalankan bengkel lakonan dan latihan yang dinamakan Buy The Future untuk anak-anak muda, khususnya generasi FELDA mengenali ilmu industri. Bengkel berkenaan turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
“Masyarakat yang angkat nama Que Haidar. Jadi, inilah peluang untuk memberi semula kepada masyarakat menerusi program-program bawah ISKAF. Kebetulan, saya juga anak FELDA, jadi kebersamaan itu akan mendekatkan lagi dengan saya dengan masyarakat,” katanya yang terlibat menerusi Malek juga kerana ISKAF.
“Asalnya Malek adakah karya filem pendek yang terhasil daripada kerja praktikal peserta bengkel seni lakon ISKAF. Ia menjadi produk pertama ISKAF yang berjaya masuk televisyen. Ini pun salah satu usaha kami, selepas ini beberapa lagi karya akan menyusul,” kata Zainur Hisyam yang turut serta dalam pertemuan bersama Que.
Membawakan watak lelaki bernama Majid, menariknya naskhah berkenaan di mata Que semestinya karakter lakonannya.
“Majid seorang pesalah yang dibuang daerah. Dalam drama tersebut saya tidak sahaja bergelut dengan kehidupan seorang yang hidup dalam buangan tetapi juga dalam masa yang sama membesarkan seorang anak (Malek). Idraki Tan yang melakonkan Malek juga sangat berbakat.
“Drama ini juga istimewa kerana Malek mengingatkan saya nostalgia semasa kecil yang membesar dalam suasana FELDA dan hidup susah,” katanya yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor.
Malek yang menjalani penggambaran pada November tahun lepas di Trolak, Perak turut dibintangi Jalil Hamid, Jay Izwazir dan Idraki Tan.
Telefilem berkenaan berkisar Majid, seorang lelaki yang dikenakan hukuman buang daerah bawah Akta Pencegahan Jenayah. Hidupnya berubah apabila anaknya, Malek muncul secara tiba-tiba setelah isterinya meninggal dunia.