Penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir akan mempertimbangkan tawaran menjadi juri pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) pada masa akan datang.
Faizal berkata, dia akan terima tawaran itu jika ada pembaharuan dalam penganjuran program AJL selepas ini.
“Saya tidak pernah kata tidak pada setiap tawaran yang datang termasuk sebagai juri. Mungkin saya akan pertimbangkan tawaran untuk bekerjasama dalam program AJL nanti kerana saya juga menyokong pertandingan itu.
“Selain berkongsi pengalaman 11 tahun dalam bidang muzik tanah air, saya juga ingin mengetahui apa yang penganjur dan finalis mahukan dalam AJL.
“Bayangkan perasaan finalis yang bertanding dalam AJL, tetapi apabila tewas, mereka tidak dapat apa-apa pun,” katanya.
Menurut Faizal, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi mana-mana pertandingan pada usia 39 tahun.
“Saya lebih suka bersikap positif dalam segala hal. Contohnya, saya juga tidak jangka lagu Sejati ciptaan saya dan Mike Chan dan dipersembahkan vokalis Caliph Busker, Azmi Saat menjadi Naib Juara AJL32, baru-baru ini. Pujian perlu diberikan pada Azmi.
“Sepatutnya, tiada istilah tewas dalam AJL kerana barisan finalis yang bertanding juga hebat,” katanya.
Belum bersara dalam bidang muzik
Penubuhan pergerakan IamFaithmen dan pembabitan Faizal dalam aktiviti kemanusian juga menyebabkan ada pihak yang mendakwa dia ingin bersara dari bidang muzik.
“Saya belum merancang untuk bersara kerana sangat mencintai bidang muzik. Kini, saya menyanyi dan mencipta lagu bukan untuk menang anugerah.
“Saya ingin menghasilkan muzik yang boleh menyatukan kita semua dan beri inspirasi kepada orang lain.
“Saya lebih selesa orang kenal saya sebagai Faizal Tahir dan pembabitan dalam aktiviti kemanusiaan bukan untuk kejar gelaran Datuk dan sebagainya,” katanya.
Mengenai penampilannya dalam program Reunion Sepahtu pula, kata Faizal, ia juga dibuat pada saat akhir.
“Sebelum ini, saya naik ke pentas untuk menyanyi, tapi kali ini, saya berlawak pula.
“Berlawak juga bukan sesuatu yang mudah kerana ia spontan dan tiada skrip.
“Saya terima tawaran kerana memang minat dengan Sepahtu dan ingin melakukan sesuatu yang berbeza dalam karier seni,” katanya.