Izreen tegaskan tidak pernah ambil tahu rumah tangga suami dan madu.
Selepas tersebarnya berita tentang pemuzik bebas, Muhamad Radzi Abdul Wahid atau Ude mahu menceraikan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh, pelakon popular Izreen Azminda telah dikecam netizen.
Izreen yang merupakan isteri kedua kepada Ude dituduh menjadi punca kepada tindakan nekad Ude untuk berpisah dengan isteri pertamanya.
Biarpun netizen tidak dapat melepaskan kemarahan mereka di Instagram peribadi Izreen yang telah menutup ruangan komen semenjak November lalu, mereka tetap mengecam pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan ni menerusi pelbagai medium lain.
Menafikan dirinya sebagai punca, Izreen sebagaimana yang dilaporkan menerusi sebuah akhbar berkata, dia tidak pernah mencampuri urusan suaminya dengan madunya, termasuk keputusan mereka untuk bercerai.
"Jujurnya, ada kala saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya tidak pernah bertanya, bergaduh atau apa saja berkaitan dengan rumah tangganya bersama Intan.
"Sudah menjadi prinsip hidup kami, apabila pulang ke rumah saya, hanya hal rumah tangga kami dibincangkan. Saya sedar kedudukan saya sebagai isteri kedua, jadi lebih baik saya tidak ambil tahu," katanya.
Disebabkan itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini meminta netizen untuk tidak mengaitkan dirinya dengan masalah rumah tangga suaminya dengan isteri pertama.
Terdahulu Ude dan isteri pertamanya hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi proses lafaz cerai pada Rabu.
Bagaimanapun, proses tersebut ditangguhkan pada 22 Mac depan selepas peguam mewakili Ude iaitu Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain memohon untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas perceraian.
Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.
Sementara perkahwinan kedua Udea bersma Izreen pula berlangsung pada 8 Ogos 2017.