Aizat Amdan lebih fokus kepada diri sendiri


Mengenali penyanyi Aizat Amdan, sememangnya anak seni yang lahir menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu boleh dikategorikan sebagai seorang yang cukup berbakat besar. Jika majoriti penyanyi yang ada di negara ini hanya sekadar penyanyi, tetapi Aizat punya nilai tambah tersendiri menerusi bakatnya sebagai seorang komposer.

Maka, tidak hairanlah, selepas mencipta populariti di awal kemunculannya sekitar 2007, Aizat banyak memberikan tumpuan kepada penghasilan lagu buat penyanyi-penyanyi lain. Terutamanya sekitar dua tahun kebelakangan ini, di mana pelantun lagu hit Hanya Kau Yang Mampu itu dilihat lebih banyak berada di belakang tabir berbanding menonjolkan dirinya sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 29 tahun itu memberitahu, dia kini mempunyai misi tersendiri yang mahu diselesaikan. Selepas sibuk dengan penghasilan karya buat artis lain, kini kata Aizat, dia mahu meletakkan kariernya sebagai penyanyi terus ke hadapan.

“Kalau melihat tahun-tahun sudah, memang saya lebih cenderung kepada penghasilan lagu untuk artis lain. Bahkan, sekarang ini pun ada juga tawaran untuk saya hasilkan lagu untuk beberapa projek.

“Cumanya, saya fikir pada tahun ini, saya mahu fokus kepada lagu nyanyian saya sendiri pula. Fokus lebih untuk diri. Lagipun, sekarang ini saya baru keluar dengan single baharu berjudul Sampai Ke Hari Tua,” kongsinya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di Hotel Berjaya Times Square baru-baru ini.





Tambahan pula, kata Aizat, urusan karier nyanyiannya juga menjadi lebih mudah apabila dia kini sudah tidak bergerak secara sendiri. Ini kerana, Aizat memilih untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

“Ada beberapa pihak cuba menguruskan saya juga termasuklah abang sendiri ketika saya tidak terikat dengan mana-mana label. Bagaimanapun, sekarang lebih mudah kerana ada pengurusan daripada syarikat rakaman besar seperti Warner Music.

“Jadi, urusan promosi dan pemasaran lagu semua sudah diuruskan. Sekali gus, ia juga memudahkan kerja saya kerana lebih teratur. Lagipun, mereka pun berasa senang bekerja dengan saya kerana saya boleh menghasilkan lagu sendiri,” kongsinya.

Bercakap mengenai buah tangan terbaharunya, Sampai Ke Hari Tua, kata Aizat, lagu itu sudah mempunyai video muzik yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube.

“Lagu itu juga sudah boleh dimuat turun menerusi beberapa platform digital. Setakat ini respons yang saya terima cukup positif daripada pendengar. Bahkan, lagu itu saya tulis sendiri juga. Kalau kita menulis dan menyanyikan lagu itu sendiri, lebih sampai kepada pendengar,” kongsinya.

Ditanya mengenai maksud lagu itu, kata Aizat, ia menggambarkan impian dalam diri setiap orang yang hidup berpasangan.

“Semua orang inginkan hidup bersama dengan tersayang sehingga ke akhir hayat mereka. Jadi, itulah yang saya cuba sampaikan. Lagipun, saya melihat orang sekeliling yang hidup bersama insan tersayang kekal lama hingga ke hari tua,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post