Hipokrit bukan cara Mimi Fly


Mimi Fly tidak lagi mahu dihantui memori lama berkenaan penceraiannya dengan bekas suami, Mohd. Firdaus, kini, dia ingin fokus dengan kerjayanya sebagai penyanyi solo wanita.

Selepas mendedahkan kepada media dia sudah bercerai dengan bekas suami, Mohd. Firdaus Hajar pada penghujung tahun lalu, banyak perkara yang dipelajari anggota kumpulan One Nation Emcees ini yang kini dikenali sebagai Mimy Fly.

Kata pemilik nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham itu ketika ditemui Kosmo! pada satu sesi fotografi baru-baru ini, dalam tempoh sukar tersebut, dia banyak menghabiskan masa meratapi kehidupannya dan mengalami masalah kemurungan yang agak serius.
Mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk menjalani semula kehidupan seperti biasa selepas memori pahit berkenaan, Mimi, 30, kini tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan ingin fokus kepada kerjaya seninya sebagai penyanyi solo dengan kemunculan single solo perdana berjudul Superfly.

KOSMO!: Boleh ceritakan sedikit mengenai single solo baharu Mimi?

MIMI FLY: Superfly merupakan sebuah lagu rancak yang saya cipta bersama tiga komposer lain iaitu Shazee, Omar K dan Audi Mok.

Sejujurnya, lagu ini menceritakan tentang ketabahan saya sebagai seorang wanita yang berdikari.

Saya tidak mahu lagi dibelenggu kenangan lama. Saya berasa sangat selesa kerana akhirnya lagu ini dapat menemui peminat selepas mengharungi pelbagai dugaan rumah tangga. 


Melihat daripada klip video Superfly, ia mungkin menjemput kritikan daripada peminat kerana aksi lincah anda menari, apa komen anda?

Saya tidak kisah. Sejak dulu, inilah identiti saya iaitu seorang penyanyi wanita yang sukakan tarian rancak. Saya buat lagu atau klip video berkenaan bukan untuk puaskan hati semua orang. Saya buat untuk diri sendiri.

Bagi saya, setiap orang mempunyai kebebasan untuk berkarya. Orang macam saya wujud dalam masyarakat dan hanya ingin menjadi diri sendiri. Hipokrit bukan cara saya.

Maaf bertanya, bagaimana keadaan anda sekarang setelah bergelar janda?

Jujurnya, sewaktu penceraian berlaku saya berasa amat sunyi. Saya menangis seorang diri dan suka menyendiri di rumah. Lama-kelamaan, keadaan saya semakin okey.

Saya fikir, sampai bila perlu menghukum diri sendiri. Hidup harus diteruskan walaupun pahit macam mana sekalipun, saya perlu telan dan terus berjalan.

Saya sudah boleh terima kenyataan bahawa jodoh dengan dia tidak panjang dan kini perlu bekerja keras untuk diri sendiri.





Adakah anda sudah terbuka hati untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki dalam hidup selepas bercerai?

Saya bersedia untuk berkawan dengan banyak lelaki. Bagaimanapun, kalau untuk serius ke arah perkahwinan mungkin masih terlalu awal.

Saya akui, saya sudah ada ‘hati’ untuk berkenalan dan bercinta semula dengan lelaki tapi seperti yang dikatakan tadi, saya ingin fokus kepada kerjaya solo sebagai seorang penyanyi.

Seperkara lagi, saya akan muncul dengan single solo kedua berjudul Pura-Pura Bujang.

Kalau tiada halangan, mungkin pertengahan tahun ini ia akan dilancarkan dan saya berharap dapat menembusi negara jiran seperti Indonesia kerana ketika One Nation Emcees masih aktif, saya agak dikenali di sana.

Anda kini bergerak solo, bagaimana dengan One Nation Emcees?

One Nation Emcees masih wujud. Cuma, setiap daripada kami sekarang punya kehidupan masing-masing. Kalau ingin terus fikir pasal kumpulan tersebut, saya mahu makan apa? Saya perlu juga fikirkan tentang kehidupan dan kerjaya saya sendiri.

Kalau dipanjangkan ‘jodoh’ dengan One Nation Emcees, insya-Allah akan ada projek berikutnya nanti. Buat masa sekarang, saya ingin fokus kepada kerjaya solo dan bikin apa yang sudah lama tertangguh.

Post a Comment

Previous Post Next Post