Gemilang 30 tahun Ruth Sahanaya


ADdrenalin - Selama lebih dua jam konsert berlangsung, Ruth membuktikan kekuatan vokalnya sentiasa lunak untuk dinikmati oleh penonton.

Selepas tujuh tahun, penyanyi popular kelahiran Indonesia, Ruth Sahanaya kembali menjejakkan kaki di negara ini menerusi penganjuran Konsert Ruth Sahanaya-Live At Dewan Filharmonik Petronas yang berlangsung baru-baru ini.

Kali terakhir penyanyi berusia 52 tahun itu hadir ke negara ini adalah pada 2011 menerusi konsert yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Ia sekali gus menjadikan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kaulah Segalanya itu menjadi artis Indonesia pertama mengadakan konsert solo di DFP.

Populariti penyanyi kelahiran Bandung itu mula meledak sekitar lewat 1980-an menerusi lagu Kaulah Segalanya yang mendapat tiga anugerah platinum.

Tempoh tiga dekad menabur cinta dalam industri, Ruth menjadikan persembahan itu sebagai malam untuknya menghargai peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya selama ini.

“Saat mengetahui diberi tawaran oleh DFP untuk mengadakan konsert di sini, saya sangat teruja kerana bukan sembarangan orang diberi penghormatan besar sebegini.

“Apatah lagi saya menjadi artis Indonesia pertama yang diberi peluang mengadakan konsert solo di sini. Saya sangat senang dan berterima kasih atas rezeki ini,” ujar Ruth saat ditemui usai persembahannya berlangsung.

Pada persembahan itu, Ruth mendendangkan sebanyak 18 buah lagu popularnya seperti Selamanya, Andaikan Kau Datang, Jangan Buang Waktu, Memori, Merenda Kasih, Ingin Kumiliki dan Tak Ku Duga.

Ia termasuk medley lagu beberapa penyanyi muda lelaki Indonesia iaitu Takkan Terganti (Marcell), Harus Terpisah (Cakra Khan), Panah Asmara (Afgan) dan Kisah Romantis (Glenn Fredly).

Ditanya apakah sebab dia memilih untuk menyampaikan medley daripada penyanyi baharu berbanding lagu malar segar seperti kebanyakan artis lain, ini jawapan diberi Ruth:

“Hal ini kerana sekarang industri muzik di Indonesia (bahkan Malaysia) ada begitu ramai penyanyi baharu yang berbakat dan hebat.

“Jadi, saya cuma ambil kesempatan ini untuk mendendangkan lagu-lagu yang popular di kedua-dua buah negara supaya peminat senang menikmatinya.”



Aspek penting

Jelas Ruth, aspek penting yang menjadi asas dalam setiap persembahannya adalah susun atur lagu. Baginya, itu adalah cara untuk menimbulkan emosi dalam hati penonton, sekali gus mempengaruhi mood mereka ketika menonton persembahannya.

“Dalam memilih lagu, urutan sangat penting kerana muzik mampu mempengaruhi keseluruhan jiwa dan emosi mereka yang mendengarnya. Sekali gus ia akan menjemput aura positif dalam diri saya sebagai penghibur jika penonton menikmati persembahan,” katanya.

Malah, tambah penyanyi yang digelar Diva Pop itu lagi, alur genre lagu yang dipilih juga perlu sesuai dengan persembahan kerana muzik orkestra selalunya cenderung ke arah muzik klasik.

“Lagu yang dipilih pada malam ini kebanyakannya daripada lagu yang berentak soul, pop dan R&B atau dalam erti kata lain lagu ‘beralur lembut’.

“Namun, saya tidak lupa menyelitkan beberapa buah lagu rancak kerana ia mampu memeriahkan suasana dan mengajak penonton menyanyi bersama,” tuturnya yang mesra disapa Uthe.



Pengalaman pertama

Mengambil masa hanya dua hari untuk latihan di Jakarta tidak menimbulkan masalah untuknya menyalurkan segenap kesungguhan dengan baik menerusi persembahan itu.

Cuma kata Ruth, persembahan di DFP memberi satu pengalaman berbeza dan baharu buatnya untuk menyesuaikan diri apabila perlu menjayakan konsert yang dibahagikan kepada dua slot dan itulah yang menjadi cabaran buat dirinya.

“Selama ini saya tidak pernah menjayakan sesebuah persembahan yang ada waktu rehat seperti ini. Kalau mahu tukar baju pun, saya akan lakukannya ketika lagu masih dimainkan.

“Hal ini kerana bagi saya sukar untuk mengekalkan emosi dan momentum sekiranya persembahan perlu dihentikan.

“Ia akan menjadi susah kerana saya perlu membina semula emosi pada bahagian kedua persembahan. Namun disebabkan ia prosedur di DFP, jadi saya okey sahaja. Kalau mahu masuk rumah orang, kita perlu ikut peraturannya bukan,” katanya sambil ketawa.

Menutup persembahan menerusi lagu Semua Jadi Satu, suasana dalam dewan penuh gamat apabila Ruth mengajak semua penonton yang hadir untuk sama-sama berdiri dan bernyanyi.

Ternyata aura seorang penghibur sejati yang ada pada diri Ruth begitu menyenangkan ramai pihak kerana keramahannya berinteraksi dengan peminat termasuk yang duduk di bahagian atas.

Sebelum menutup tirai, Ruth memilih lagu popular daripada Datuk Sheila Majid berjudul Sinaran sebagai penyudah persembahan.

“Mengikut perancangan awal, lagu Sinaran mahu digabungkan dengan beberapa lagu saya tetapi hasilnya tidak cocok (sesuai). Akhirnya saya memilih untuk menyanyikannya secara penuh.

“Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih peminat di Malaysia dan sekurang-kurangnya ada kenangan yang boleh dibawa pulang oleh mereka usai menonton persembahan saya,” katanya yang merupakan rakan baik kepada Sheila.

Segah pentas yang ditakluknya pada malam itu, Ruth berjaya menterjemahkan sisi dan peribadinya selaku diva sejati dengan untaian lagu yang popular, selain lantunan vokal yang masih memukau meski usianya sudah separuh abad.

Penyanyi popular Indonesia, Ruth Sahanaya melakar kenangan terindah menerusi persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena tiga dekadnya dalam industri, sekali gus menjadikannya penyanyi Indonesia pertama diberi peluang menjayakan persembahan di pentas itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post