Bocey & Friends ubat rindu peminat


Selepas kali terakhir muncul bersama di atas pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) tahun lalu, tiada lagi kelibat tiga trio pelawak iaitu Abam, Achey dan Fad menghiburkan peminat mereka sementelah masing-masing terikat dengan haluan karier berbeza.

Namun demi mengubat kerinduan itu, Astro tampil dengan sebuah program baharu berjudul Bocey & Friends Live yang telah bersiaran sejak 23 Mac lalu di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124) pada pukul 10 malam selama lapan minggu berturut-turut.

Program itu merupakan kesinambungan daripada Bocey & Friends yang pernah bersiaran pada tahun 2016. Namun kali ini, ia disiarkan secara langsung dan tempoh tayangan dilanjutkan kepada satu jam.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh, program tersebut memiliki keunikan tersendiri apabila ia mengetengahkan elemen lakonan dan nyanyian dalam persembahan.

“Dalam setiap episod, mereka akan mementaskan dua buah persembahan komedi yang berbeza mengikut topik isu semasa yang telah ditetapkan.

“Antara isu-isu yang akan menjadi bahan persembahan adalah kekeluargaan, suami isteri, buli, kenduri-kendara dan pejabat yang sangat dekat dengan masyarakat kita.

“Dari situ, mereka akan mengupas mesej dan nilai positif dalam hiburan yang dipersembahkan,” katanya ketika majlis sidang media program berkenaan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.





Elemen kejutan

Pada setiap minggu, terdapat elemen kejutan apabila identiti tetamu undangan dirahsiakan dan hanya akan diketahui sewaktu persembahan sedang berlangsung.

Bocey akan disertai oleh rakan-rakan seperjuangan mereka yang pernah bersama-sama menjayakan program MLM seperti Zero, Shiro dan Puteh selain selebriti yang bukan dalam kalangan pelawak.

Mengulas tentang perkara itu, Fad menyifatkan ia sebagai suatu kelainan yang menarik kerana dapat membantu menyuntik perasaan ingin tahu dalam hati penonton.

“Saya rasa elemen kejutan seperti ini perlu ada dalam mana-mana program pun sebab ia banyak membantu, bukan hanya kepada hos tetapi penonton juga.

“Cuma, ia menjadi cabaran kerana dari situ kami perlu belajar bagaimana untuk menghadam elemen kejutan supaya ia menjadi sebahagian daripada persembahan.

Namun, kami ambil ia sebagai pembakar semangat dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak Astro,” jelasnya.

Sementara itu, tambah Abam pula, kemunculan mereka bertiga menerusi program siaran langsung itu menjadi tanda bahawa tidak pernah berlaku perpecahan antara mereka.

“Kami tidak pernah berpecah. Mungkin orang sudah lama tidak melihat kami beraksi bersama selepas tamat MLM2017. Bukannya apa, cuma sekarang masing-masing sibuk dengan agenda kerjaya sendiri.

“Hampir setahun tidak beraksi di atas pentas besar, saya akui sukar mengekalkan momentum.

“Namun, itu semua kami atasi dengan cara banyak berborak sesama sendiri walaupun cuma dalam aplikasi WhatsApp.

“Dengan cara itu, kami mampu membina semula momentum biarpun jarang bertemu,” katanya yang cukup teruja menanti episod pertama Bocey & Friends Live.

Persembahan Bocey & Friends Live akan diiringi oleh barisan pemuzik di bawah kendalian pengarah muzik, Datuk Ramli MS.

Post a Comment

Previous Post Next Post