Zed Zaidi Jangan sudah tua baru cari Seniman


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyelar tindakan segelintir artis yang sewenang-wenangnya menyalahkan persatuan hanya apabila sudah ditimpa musibah.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana artis, Zed berkata, beliau kecewa apabila ada pihak yang dengan mudahnya mengatakan Seniman tidak menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang tidak membela nasib golongan artis.

"Perlu diingatkan bahawa Seniman merupakan satu persatuan atau badan kebajikan. Bukan semua masalah artis kita boleh selesaikan dan janganlah apabila sudah ditimpa musibah baru ingat persatuan.

"Saya kecewa juga sebenarnya apabila ada segelintir artis memang tidak pernah tunjuk muka pada acara yang diadakan oleh persatuan tapi dekat sosial media bukan main lancang kritik itu dan ini," getusnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran Kenderaan Khas Seniman di sini sebentar tadi.

Kata Zed lagi, beliau turut terkilan apabila kebanyakan acara yang melibatkan Seniman jarang-jarang sekali artis muda menghadirkan diri.





"Macam acara hari ini memang tiada langsung artis-artis muda. Jangan apabila sudah tua dan hidup penuh dengan masalah, baru cari Seniman.

"Seniman tidak boleh menyelesaikan masalah semua golongan artis. Kalau betul-betul ingin kami bantu, dekatkanlah diri dengan kami dan minta di saluran yang betul. Jangan apabila sudah kami tolong, kata kami tidak pernah pernah menghulurkan bantuan langsung," katanya lagi.

Sementara itu, Seniman kini mempunyai satu unit kenderaan khas pelbagai guna yang mempunyai 15 tempat duduk penumpang.

"Alhamdulillah, kenderaan khas ini akan digunakan untuk membantu ahli persatuan dalam pelbagai hal seperti membawa ahli-ahli yang sudah uzur untuk ke hospital dan sebagainya.

"Kenderaan khas ini juga akan dibuka untuk disewa kepada mana-mana badan atau persatuan lain yang mempunyai hasrat untuk digunakan bagi tujuan tertentu yang mendatangkaan kebaikan," ujarnya yang mendedahkan harga kenderaan khas tersebut berharga lebih RM120,000 turut mendapat tajaan antaranya daripada The Chef.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Post a Comment

Previous Post Next Post