Gabe Wely Kurang berbakat, tetapi unik


Selepas melamar penyanyi kelahiran Indonesia, Upiak Isil yang menjadi fenomena di laman sosial menerusi lagu Tak Tun Tuang, label rakaman, MVM Production Sdn. Bhd. sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menawarkan kontrak rakaman kepada pemuda kelahiran Medan, Gabe Wely.

Baru-baru ini, Gabe Wely menjadi tular di internet gara-gara keletahnya yang lucu meskipun dia gagal melepasi uji bakat program Indonesian Idol 2018.

Ternyata, ia sememangnya percaturan yang tepat apabila single pertama ciptaan Gabe Wely, Ini Sifat Manusia (OK OK OK) menjadi sohor kini (trending) di YouTube, selain mencecah lebih satu juta tontonan meskipun baru dua hari dimuat naik di laman sosial pada minggu ini.

Meskipun majoriti netizen mengecam kehadiran Upiak Isil dan Gabe Wely gara-gara disifatkan tidak cukup berbakat untuk dilamar menjadi artis rakaman, pihak MVM Production Sdn. Bhd. memiliki alasan tersendiri berhubung perkara itu. Bersama Sensasi Bintang, Pengurus Besar MVM Production Sdn. Bhd., Rumhadi Rumnan ada jawapannya.

SENSASI BINTANG: Selepas melamar Upiak Isil yang tular dengan lagu Tak Tun Tuang baru-baru ini, kalian mengambil pendekatan serupa apabila mengikat kontrak bersama Gabe Wely. Mengapa?

RUMHADI RUMNAN: Ia memang sebahagian daripada strategi pemasaran pihak kami untuk menembusi pasaran di Indonesia, sekali gus menggamit perhatian industri muzik tempatan. Sama seperti Upiak Isil, kami mengambil pendekatan sama apabila melamar Gabe Wely terutamanya apabila pihak kami telah membuka cawangan dan pejabat kami secara rasminya di sana. Kami telah menjalinkan usaha sama secara terus dengan sebuah syarikat telekomunikasi di Indonesia.





Siapa Gabe Wely sebenarnya? Kenapa dia dipilih menjadi artis rakaman MVM?

Dia merupakan salah seorang peserta yang mencuba nasib menjalani uji bakat Indonesian Idol 2018 pada Disember tahun lepas. Gabe Wely gagal dipilih kerana tidak berkemampuan untuk menyanyi dengan baik, namun jenakanya menjadi sohor kini di Indonesia selama beberapa minggu. Percaya atau tidak, video uji bakatnya telah ditonton lebih 13 juta tontonan sehingga tular di Malaysia. Disebabkan itu, pihak kami membuat keputusan untuk menawarkan kontrak rakaman kepadanya. Ketika berada di Bali, saya berjaya menghubunginya sebelum bertemunya di Medan. Selepas itu, saya mendapatkan khidmat Harry Khalifah untuk menerbitkan single pertama ciptaan Gabe Wely yang berjudul Ini Sifat Manusia (OK OK OK) sebelum dipasarkan. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang positif di sana.

Adakah percaturan melamar Gabe Wely cukup berbaloi untuk pihak MVM?

Sudah tentu. Ia cukup berbaloi terutamanya dalam aspek pemasaran. Kami memiliki beberapa artis yang memiliki vokal suara yang bagus seperti Yabang Khalifah dan Syafiq Farhain, jadi apa salahnya untuk meneroka cabang berbeza dalam industri hiburan? Mungkin mereka kurang berbakat, namun mereka memiliki ciri-ciri yang unik sekali gus boleh diterima dalam pelbagai aspek berbeza. Saya percaya Gabe Wely berpotensi untuk pergi lebih jauh terutamanya dalam bidang pengacaraan, ia dapat dilihat apabila Upiak Isil kini membuka mata sutradara-sutradara di sana untuk berlakon dalam beberapa filem dan sinetron.

Kehadiran Gadis Cendol, Nija yang juga pernah tular dalam klip video lagu ini juga mengundang reaksi berbeza netizen. Komen?

Tujuan asal kami menggunakan khidmat gadis berkenaan sebagai penyeri klip video berkenaan supaya ia sohor kini, ternyata ia terbukti apabila ia benar-benar berjaya. Biarpun dikecam teruk, tiada masalah asalkan segala yang dirancangkan menjadi.

Tular cuma bersifat sementara, jadi apa pandangan anda berhubung perkara ini? Tidak khuatir situasi ini menyukarkan peluang mana-mana artis yang benar-benar berbakat?

Memang benar, ia memang sesuatu yang hebat jika ia tular dalam tempoh yang lama. Begitu juga ketika kami melamar Upiak Isil sebelum ini, ada yang menyifatkan ia sekadar sekejap semata-mata. Alhamdulillah sebaik melihat kejayaan yang dialami Upiak Isil ketika ini, ia sememangnya mengundang kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Saya percaya Gabe Wely juga akan mengikut jejak langkah yang sama. Pihak kami cuma berhasrat untuk meningkatkan populariti Gabe Wely di Indonesia, sebab itu kami yakin dengan kebolehannya berlawak. Meskipun kurang mendapat sambutan di sini, sekurang-kurangnya ia mendapatkan sambutan memberangsangkan di sana. Terus-terang, pihak syarikat rakaman di sana juga kurang membantu bagi mempromosikan artis Malaysia, sebab itu ia salah satu cara daripada pihak kami untuk mempromosikan secara terus artis-artis kami di Indonesia.

Post a Comment

Previous Post Next Post