Fatin Afeefa Kalau benar, jangan sembunyi


Tidak keterlaluan untuk mengatakan pelakon cantik, Fatin Afeefa antara selebriti tanah air yang dihambat kontroversi panas selain Izreen Azminda.

Kontroversi demi kontroversi melanda bekas isteri pelakon, Adam Shahz ini.

Pada Disember tahun lalu, kecoh seketika apabila netizen mendakwa sekeping gambar wanita sedang bercium dengan seorang lelaki yang bertebaran di laman sosial adalah dirinya.

Bagaimanapun, Fatin telah menafikan wanita tersebut adalah dirinya.

Namun, baru-baru ini menerusi gambar yang sama, seorang wanita melalui satu akaun Twitter telah mendakwa lelaki yang ada dalam gambar berkenaan adalah suaminya. Ia sekali gus mendakwa pelakon yang juga penyanyi itu menjalin hubungan dengan suaminya selain menulis beberapa lagi kenyataan lain mengenai perihal negatif terhadap pelakon tersebut.

Sensasi Bintang cuba mendapatkan reaksi dan komen daripada mulut wanita yang membintangi filem kanak-kanak, Tentang Bulan yang terkenal suatu ketika dahulu. Ini jawapan yang diberikan.

“Orang yang memberi kenyataan tersebut berselindung di sebalik akaun palsu, jadi apa tujuannya?

“Kalau betul, keluarkan diri dekat umum. Jangan sembunyikan diri anda,” katanya.





Berputar pada topik yang sama, persoalan mungkinkah ada individu tertentu cuba mensabotaj dirinya sehingga keluar kontroversi sebegitu, dengan tenang Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 23, memberikan jawapan.

“Saya tidak kacau siapa pun. Orang tak suka bila kita tunjuk kita senang kot. Entah lah.

“Cuma, apa yang boleh saya katakan ialah kalau betul, tunjukkan diri. Kalau sembunyi, berita itu tidak sah,” ujarnya yang juga enggan berkongsi ceritera cinta ketika Sensasi Bintang bertanyakan adakah dirinya ada mengenali insan lain saat ini kerana menyifatkan ia terlalu peribadi.

Akur dengan jawapannya, Fatin dibawa bercerita tentang perkembangan terkininya.

“Alhamdulillah, sekarang saya masih lagi menjalani penggambaran drama sebanyak 80 episod berjudul Mona Lisa yang akan ditayangkan pada 20 Mac ini di Astro Prima.

“Dalam drama ini saya memegang watak Suraya iaitu adik kepada Cef Adam lakonan Hafreez Adam,” jelasnya yang juga terlibat dengan penggambaran drama 24 episod, Bimbi Bonni:Misi 007 untuk saluran Astro Warna.

Selain daripada dua kontroversi tersebut, sebelum ini nama Fatin turut panas kerana didakwa telah menyihir bekas suaminya.

Menerusi InstaStory milik Adam baru-baru ini, Adam mendakwa dirinya telah disihir Fatin sehingga menyebabkan dia tidak menyedari bekas isterinya itu curang ketika mereka masih berumah tangga.

Bagaimanapun, Fatin menafikan dakwaan Adam dan menegaskan tidak mengenali mana-mana bomoh selama ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post