Harapan besar Aman Aziz


Empat tahun lalu, ketika menyertai program Akademi Fantasia (AF), anak seni bernama Aman Aziz ini pernah dikritik kerana didakwa tidak mampu menyanyi dengan baik.

Bagaimanapun, lelaki ini tidak kenal erti putus asa dan berjaya mengekalkan dirinya dalam program tersebut sehingga ke minggu akhir.

Malah, pada tanggal 9 November 2014 pula menyaksikan detik bermakna bagi anak kelahiran Klebang, Melaka ini apabila dinobatkan sebagai naib juara AF 2014.

Itu kisah Aman saat berjuang untuk berjaya memboloskan diri dalam dunia hiburan yang penuh suka duka.

Sejurus itu, Aman memperjuangkan lagu Without You dan dua tahun kemudian, single Layang-layang.

Namun, entah di mana silap percaturannya, kedua-dua single berkenaan kurang mendapat perhatian hingga namanya juga jauh meninggalkan pengikut industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, pada penghujung tahun lalu, episod mendung mengiringi perjalanannya selama ini disapa cahaya mentari apabila single ketiganya yang berjudul Sulit berjaya menawan hati ramai, malah menerima maklum balas positif daripada sang pendengar.

“Alhamdulillah, single Sulit mendapat maklum balas yang sangat positif daripada orang ramai.

“Stesen radio tempatan terutamanya Era FM dan Suria FM juga kerap memainkan lagu Sulit.

“Ada juga pendengar yang menulis #AJL33 dan ini membuatkan saya rasa lagi bersemangat,” ujarnya bersungguh-sungguh.





Justeru, saat menyambung kata, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini menerbangkan harapan untuk Sulit.

“Saya amat berharap Sulit layak untuk ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 33.

“Saya mahu tunjuk bakat dan saya layak berada dalam industri hiburan,” katanya yang bertambah semangat selepas menyaksikan kejayaan sahabat seperjuangannya, Hael Husaini di depan mata pada AJL 32 lalu.

Beralih kepada cabang seni yang lain pula iaitu perkembangan terbaharu mengenai lakonan, Aman memberitahu, dia baru sahaja selesai penggambaran untuk sebuah drama untuk RTM berjudul Orang London Balik Kampung dua bulan lalu.

Rancak berbicara, anak muda yang pernah membintangi beberapa drama termasuk Cinta Suci Jadi Saksi ini punyai cara sendiri dengan melihat cara Ayda Jebat untuk membina namanya.

“Saya tengok konsep dia ialah orang tidak kenal dia melalui AF tetapi melalui drama. Selepas berlakon drama Rindu Awak 200%, dia mula ada lagu dan kemudian terkenal.

“Saya nak ikut konsep Ayda. Tak kisah orang nak kutuk, janji kita puas,” ujarnya yang ditawarkan tawaran berlakon oleh pihak produksi, namun meminta dirinya menaikkan berat badan dan membuang pendakap gigi terlebih dahulu.

Selain itu, sebelum menoktah bicara bersama Sensasi Bintang, Aman mendedahkan dirinya juga mempunyai target untuk menembusi pasaran Indonesia kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post