Ruhainies Saya kuat cemburu


Sejak membabitkan diri dalam industri hiburan sekitar empat tahun lalu, pelakon cantik Ruhainies sudah beberapa kali terpalit dengan gosip percintaan mengaitkan dirinya dengan beberapa lelaki. Sungguhpun begitu, hakikat sebenar cerita-cerita yang bertebaran itu tidak lebih daripada sekadar khabar angin semata-mata.

Kisah yang sebetulnya, sehingga sekarang, wanita berusia 26 tahun itu masih lagi solo. Tiada yang benar-benar boleh dikategorikan sebagai insan istimewa. Bukan terlalu memilih, cuma menurut pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu, dia belum menjumpai insan yang betul-betul boleh memahami dirinya.

Bagaimanapun, pelakon drama Menantu Bilal itu mengakui bahawa dirinya pernah didekati lelaki sebelum ini. Malangnya, detik perkenalan awal yang dilihat indah pada zahirnya itu akhirnya hanya kini tinggal sebuah kenangan.

Orang ketiga

Kongsi Ruhainies, semuanya gara-gara kehadiran orang ketiga pada awal perkenalan tersebut. Menganggapnya sebagai satu pengalaman hidup, pelakon drama Jejak Karmila itu tidak pernah kesal dengan apa yang terjadi. Baginya, dia yakin pasti ada hikmah atas segala apa yang berlaku ke atas jalan hidup yang sudah ditentukan-Nya.

“Sebelum ini memang saya ada berkawan dengan seorang lelaki. Bagaimanapun, individu itu bukanlah orang dalam kalangan industri hiburan. Dia merupakan seorang ahli perniagaan.

“Jika dalam perhubungan, semua kesalahan yang dilakukan saya mungkin boleh maafkan kecuali apabila ia melibatkan orang ketiga, saya memang tidak boleh terima.

“Jadi, apabila saya dapat tahu dia ada berkawan dengan perempuan lain pada masa sama, maaflah. Saya merupakan seorang yang kuat cemburu,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, kata Ruhainies, dia tidak menolak kemungkinan perkenalan singkat selama enam bulan yang tidak menjadi itu mempunyai kaitan dengan kesibukan dirinya.

“Bekerja sebagai pelakon ini tidak tentu masa. Ada kalanya, dari pagi hingga malam berada di set penggambaran. Jadi, mungkin saya tidak banyak masa untuk berpasangan hingga menyebabkan dia kurang mendapat perhatian.

“Jadi, apabila sudah tahu saya sibuk, dia pula sibuk dengan wanita lain, selamat tinggal sahajalah,” kongsi adik kepada pelakon Risteena Munim itu.

Lebih menarik, menurut Ruhainies, pengalaman dipermainkan lelaki yang tidak setia itu juga digambarkan dalam drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang sedang disiarkan di saluran Astro Ria. Justeru, katanya pembawaan watak yang digalas sebagai Bella itu sedikit sebanyak menggambarkan jalan kisah hidupnya sebelum ini.

“Jalan cerita drama tersebut mempunyai persamaan dengan apa yang saya pernah lalui. Dalam cerita itu saya memegang watak sebagai Bella yang merupakan tunang kepada Hazran lakonan Syafiq Kyle.

“Malangnya, disebabkan saya terlalu sibuk, Hazran pula mula buat hal dengan berkenalan dengan wanita lain kerana tidak dapat perhatian daripada saya. Jadi, saya sendiri merasakan lebih senang nak membawakan watak itu kerana pernah melaluinya,” kongsi Ruhainies yang memberitahu drama itu bersiaran selama 16 episod.

Sedar gandingan dirinya bersama Syafiq Kyle itu nanti mungkin boleh menimbulkan gosip percintaan, kata Ruhainies dia menganggap itu sebagai satu asam garam dunia hiburan. Baginya, apa yang penting dia tahu di mana batasnya sebagai seorang pelakon.

“Apabila orang nampak kami makan bersama di set, timbul pula cerita yang kononnya kami ini bercinta. Walhal, kami rapat di set sahaja. Habis kerja di set penggambaran, maka habis di situ sahajalah. Tidak pernah pula sampai keluar menonton wayang bersama-sama,” kongsinya.





Belakang tabir

Kongsi Ruhainies lagi, apa yang penting, dia kini tidak mahu memikirkan soal cinta. Baginya, dia punya banyak misi yang perlu dikejar selagi dirinya mempunyai peluang dan kesempatan untuk meneroka industri hiburan yang menjadi periuk nasinya.

Justeru, selain berlakon, pelakon Menantu Ting Tong itu memberitahu, dia kini sedang berjinak-jinak untuk mempelajari selok-belok penerbitan sesebuah naskhah. Katanya, secara tidak langsung ilmu itu akan menjadi pengetahuan berguna untuk perancangan masa depannya dalam mewarnai industri seni tempatan.

“Sekarang pun kalau berada di set penggambaran, saya banyak bertanya dan belajar dengan pengarah dan pihak kru produksi mengenai aspek-aspek penerbitan. Lagipun, sebenarnya, selain berlakon saya memang mempunyai minat mendalam untuk mengetahui kerja-kerja di belakang tabir.

“Tambahan pula, saya juga akan menjadi penerbit eksekutif bagi sebuah drama yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi. Jadi, ia merupakan satu permulaan buat saya untuk menceburi bidang baharu ini pula,” kongsinya yang memberitahu akan terbang ke Budapest, Hungary bulan depan untuk penggambaran dua buah drama.

Jelasnya lagi, selain itu juga dia akan memberikan fokus kepada perniagaan minyak wangi yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Sementara masih kuat lagi ini, bekerja sahajalah. Selain berlakon, pada masa sama saya berbisnes. Lagipun, saya memang jenis tidak boleh duduk diam di rumah sahaja. Saya merasakan diri ini tidak produktif sekiranya tidak melakukan apa-apa pekerjaan,” kongsinya.

Jelas Ruhainies lagi, dia mengakui dirinya merupakan seorang yang kuat bekerja. Bagaimanapun, apa yang dilakukkannya pada hari ini bukanlah semata-mata untuk dirinya, sebaliknya untuk keluarga tercinta.

“Saya beli rumah baru-baru ini pun untuk ibu bapa saya. Insya-Allah, nanti selepas saya berkahwin, saya pindah keluar dari rumah tersebut, biarlah mereka tinggal di situ. Alhamdulillah, sebelum ini impian untuk bawa ibu pergi ke tanah suci juga sudah tertunai.

“Cumanya, apabila kita beli macam-macam, timbul pula cakap-cakap belakang kononnya ada yang ‘bela’. Walhal, kita penat bekerja siang dan malam,” kongsinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post