Diana lebih gemar memberikan fokus pada penyelesaian berbanding berfikir berkenaan masalah yang dihadapi.
Isteri kepada pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, Datin Diana Danielle memilih untuk berdiam diri sebelum ini kerana tidak mahu memanjangkan kontroversi yang membabitkan suaminya itu.
Menurut bintang filem Histeria itu, dia memilih untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan dia mahu memberikan tumpuan kepada keluarganya kini.
"Saya tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana apa sahaja kenyataan yang diberikan pasti akan memberi kesan. Sebagai persona, saya tenang tetapi sebagai manusia saya juga ada perasaan seperti orang lain.
"Saya tidak mahu berkongsi apa yang dirasakan dengan masyarakat dan tidak semestinya saya perlu bercerita perihal hal tersebut kepada umum," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu ntv7 di T6@ Light Grey di sini sebentar tadi.
Jelasnya, dia lebih gemar memberikan fokus pada penyelesaian berbanding berfikir berkenaan masalah yang dihadapi.
Sebelum ini, Farid Kamil berdepan lima pertuduhan dan terbaharu, pelakon filem Tombiruo itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya berhubung laporan palsu dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya.