Aleza Shadan sedia berlakon di Indonesia


Aleza Shadan sedar diri dan ruang apabila kerap ditawarkan watak antagonis atau ibu dalam drama memandangkan usianya sudah 42 tahun.

Drama rantaian yang membabitkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia bertajuk Dia telah membuka haluan buat pelakon, Aleza Shadan untuk menembusi pasaran negara republik terbabit.

Kata wanita berusia 42 tahun itu, sejak drama 60 episod tersebut mula ditayangkan pada 28 Februari lalu, dia telah menerima beberapa tawaran dari Indonesia.

Biarpun dihujani tawaran, Aleza atau nama sebenarnya Norhasliza Shadan tidak ingin terburu-buru dalam membuat keputusan sebelum mempertimbangkannya sebaik mungkin.

Lebih senang memberi tumpuan kepada karya tempatan, Aleza bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan muncul dalam sebuah naskhah dari negara seberang, sekali gus berusaha meraih posisi di sana.

Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana menyokong drama berkenaan yang telah melabuhkan tirai 11 Mac lalu.

Selain Aleza, drama Dia turut dibintangi oleh Irwansyah, Janna Nick, Izara Aishah, Zamarul Hisham, Fazlina Ahmad Daud, Farouk Hussain dan Azman Jantan.

KOSMO!: Bagaimanakah reaksi Aleza Shadan apabila drama rantaian Dia telah menamatkan tayangan pada 11 Mac lalu?

ALEZA SHADAN: Secara peribadi saya berasa gembira terhadap sambutan dan sokongan peminat. Syukur, bukan sahaja penonton tempatan, malah khalayak dari Indonesia turut memberikan reaksi positif.

Awalnya sewaktu membawa skrip, saya berpendapat hanya membawakan watak tambahan tetapi setelah menonton secara keseluruhan cerita, ia berbeza apabila karakter lakonan saya iaitu Fatimah (ibu kepada Emelda lakonan Izara Aishah) dikembangkan sehingga pengakhiran cerita.

Memandangkan drama Dia 
turut menarik perhatian peminat 
di Indonesia, jadi adakah anda telah mendapat tawaran daripada negara berkenaan?

Secara peribadi, tidak dinafikan saya menerima beberapa tawaran berlakon di sana. Namun, saya tidak mahu terlalu cepat membuat keputusan atau menerima sahaja sebarang tawaran meskipun sewaktu menjayakan drama Dia, hampir 30 peratus penggambaran dilakukan di Indonesia.

Saya sendiri mempunyai pengalaman menjalani penggambaran di sana. Satu perkara yang menarik apabila kita dapat melihat cara kerja antara produksi tempatan dan luar bekerja.

Justeru, sekiranya ingin bekerja dengan produksi Indonesia, saya berpendapat, tidak mungkin akan menjadi masalah.





Apakah yang membuatkan anda bersikap selektif terhadap tawaran dari Indonesia?

Buat masa sekarang saya ingin fokus dengan naskhah tempatan memandangkan saya kini sedang menjalani penggambaran drama rantaian Pengantin Musim Salju.

Tidak bersikap selektif tetapi saya inginkan sesuatu perkara itu perlu mempunyai hitam dan putih (perjanjian).

Buat masa sekarang segalanya dalam peringkat perbincangan, justeru saya berasa masih terlalu awal untuk memperkatakannya.

Sejak kebelakangan ini, wajah anda kerap muncul di kaca televisyen, sekali gus menjadi perbualan ramai. Namun, rata-rata peminat kurang menyedari kemunculan anda meskipun hampir dua dekad berkecimpung dalam industri. Jadi, bagaimanakah perasaan apabila menjadi semakin dikenali sekarang?

Syukur segalanya rezeki Tuhan. Sejujurnya saya seorang yang sederhana dan tidak ingin terlalu menyerlah. Biarpun penonton mengenali berdasarkan karakter yang dibawa, saya terima.

Tidak dinafikan juga, peminat kini telah semakin mengenali dan secara peribadi, saya selesa dengan situasi tersebut. Meskipun kerap diberi watak jahat atau antagonis, saya tidak mempunyai masalah atau merungut.

Bercerita soal watak, tidakkah anda berpendapat penonton akan berasa jemu sekiranya membawakan karakter sama?

Pada saya segalanya bergantung pada kreativiti pelakon itu sendiri dalam menterjemahkan watak mereka. Ia secara tidak langsung menjadi cabaran buat saya untuk menjadi lebih kreatif bagi mencetuskan kelainan.

Dalam pada itu, mungkin disebabkan pihak produksi melihat kemampuan saya untuk membawakan karakter sebegitu, jadi tidak salah untuk dilakukan.

Tambahan, pada usia 42 tahun ini saya kerap diberi watak sebagai ibu dan mustahil untuk membawakan karakter berusia remaja.

Post a Comment

Previous Post Next Post