Dengan sekali lafaz, pelakon Cinta Si Wedding Planner, Elvina Mohamad, 23, kini bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan juga selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd. Haniff Borhan, 32. Pernikahan mereka berlangsung dalam sebuah majlis ringkas di Taman Mahsuri Courtyard, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Elvina atau nama penuhnya, Norzalina Mohamad dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Asy Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Mohd. Radhi Abdul Ghani dengan disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua mempelai.
Pelakon drama Jojie Gigil yang anggun menyarung persalinan berona putih rekaan daripada Inderaloka itu menerima mas kahwin berjumlah RM700.
Elvina turut menerima senaskhah al-Quran bagi menggantikan wang sebagai hantaran berserta tujuh dulang daripada pihak lelaki sebelum dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.
Pasangan yang berkenalan sejak dua tahun lepas itu mula menjalin hubungan cinta sejak setahun lalu terlebih dahulu mengikat tali pertunangan sebelum majlis ijab dan kabul berlangsung.
“Alhamdulillah majlis berjalan lancar. Sudah tentu saya gembira tetapi seperti tidak percaya pula sudah bergelar isteri orang,” ujar Elvina yang membuat keputusan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan kira-kira tiga bulan lalu.
Bercerita mengenai wang hantaran, Elvina mempunyai alasan tersendiri apabila memilih senaskah al-Quran untuk dijadikan sebagai hantarannya.
“Perkahwinan itu mudah dan mengapa kita mahu menyusahkan dengan meletakkan jumlah wang hantaran yang tinggi. Sebenarnya perihal wang hantaran ini saya serahkan kepada pihak lelaki.
“Pihak lelaki memilih untuk memberikan senaskah al-Quran sebagai wang hantaran dan keluarga saya menerimanya. Tidak perlu wang hantaran yang tinggi, cukup dengan al-Quran pun kita boleh mendirikan masjid,” katanya.
Pasangan merpati dua sejoli itu juga bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan fantasi pada 24 Mac ini di lokasi sama, manakala majlis berinai yang bertemakan Bollywood telah berlangsung di A-Park, Puchong, Selangor pada Jumaat lalu.
Status
Bergelar datin pada usia muda, Elvina memberitahu, dia lebih selesa dibahasakan dengan panggilan seperti sebelum ini kerana baginya, hanya status sahaja yang berubah tetapi bukan dirinya.
Status yang dipegang juga bukanlah penyebab dia perlu mendabik dada, sebaliknya memilih untuk kekal merendah diri.
“Saya dikecam disebabkan pangkat tersebut, malah ada yang beranggapan saya memilih untuk berkahwin pada usia muda kerana mengejar harta tetapi itu semuanya tidak benar.
“Kami berkahwin atas dasar cinta, malah saya juga mengenali suami sebelum dia bergelar Datuk lagi,” katanya yang mengupah perancang perkahwinan untuk merealisasikan majlis impiannya.
Lumrah selebriti mendirikan rumah tangga, soal populariti selepas berkahwin pasti sedikit sebanyak memberikan impak buat perjalanan karier mereka dan Elvina turut tidak terkecuali.
“Pada mulanya, saya risau juga nama akan merundum selepas berkahwin tetapi saya percaya pada rezeki. Jika ada rezeki, ada. Sebenarnya apa yang membuatkan saya masih mahu meneruskan kerjaya lakonan adalah disebabkan bakat.
“Tidak semestinya selepas berkahwin, kita tidak boleh menjual bakat yang ada dan saya masih percaya pada bakat saya,” jelasnya yang bakal kembali bekerja beberapa hari selepas mengadakan majlis resepsi.
Batasan
Sementara itu, Mohd. Haniff turut memberitahu, beliau akan tetap menyokong kerjaya lakonan isterinya.
“Saya tidak ada masalah untuk mengizinkannya terus berlakon asalkan dia tahu batasan dan status sebagai isteri orang yang dipegang.
“Jika tawaran yang diterima bersesuaian, saya tidak kisah kerana apa yang penting dia membawa bakatnya,” jelasnya.
Beralih kepada perancangan bulan madu, pasangan sejoli ini memberitahu mereka masih tidak mempunyai perancangan untuk berbulan madu lagi sementelah kedua-duanya terikat dengan jadual kerja yang padat.