Pentingkan Kualiti - Semakin diterima dalam kalangan peminat filem Melayu, Sangeeta bagaimana sentiasa mementingkan kualiti lakonan agar terus relevan sebagai seorang pelakon.
Pengalamannya dalam dunia lakonan masih boleh disifatkan setahun jagung, namun penangan melakonkan watak seorang guru dalam filem Adiwiraku menjulang nama Sangeeta sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia edisi tahun lalu. Sejak itu, sayapnya sebagai seorang aktres semakin meluas.
Ujar pemilik nama lengkap, Sangeeta Krishnasamy itu, dia tidak mahu disanjung tinggi hanya kerana berjaya membawakan beberapa karakter dalam filem, namun ingin terus diingati khalayak kerana ketulusan perasaannya mengabdikan diri sebagai seorang pelakon yang berwibawa.
“Saya berlakon kerana minat yang mendalam. Semestinya, saya gembira apabila orang masih memuji dan mengingati karakter Cheryl Ann Ferdando. Bagaimanapun, saya mahu kualiti lakonan saya terus berkembang dengan melakonkan watak berbeza.
“Jujur saya katakan, saya berlakon bukan kerana mengejar wang atau populariti. Saya masih berada dalam bidang ini kerana minat dan punca rezeki saya yang harus dikongsi dengan orang ramai,” tutur wanita berusia 32 tahun itu membuka bicara ketika ditemui pada penggambaran filem Proksi di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sangeeta juga bersedia melangsaikan kerja sebagai pelakon secara percuma andai karya yang ingin diketengahkan mempunyai kualiti yang dicarinya.
“Kalau selepas ini, ada penerbit yang ingin mengambil saya berlakon dalam filem tanpa mengenakan sebarang bayaran, saya tiada masalah dengan perkara itu dan saya akan memberikan komitmen 100 peratus,” kata Sangeeta merendah diri seraya menyatakan bahawa kepuasan berlakon tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Jenayah
Berbicara mengenai filem terbaharu lakonannya berjudul Proksi arahan pengarah, Zulkarnain Azhar, bekas mahasiswi University of London itu amat teruja berlakon dalam sebuah filem komersial bajet besar.
“Filem ini amat berbeza. Sebelum ini, khalayak kenal saya melalui watak seorang cikgu yang lemah lembut dan kali ini dalam Proksi, saya melakonkan watak seorang ejen jenayah siber bernama Elle.
“Seperkara lagi, rasa seronok juga kerana Adiwiraku adalah sebuah filem tidak yang tidak mendapat perhatian, namun Proksi akan membuka ruang atau sisi berbeza saya pada mata penonton.
“Tambahan lagi, bekerja dengan nama-nama besar dalam filem ini memang memberikan saya banyak pengajaran dan semangat,” katanya yang amat mengagumi bakat lakonan Bront Palarae.
Melanjutkan bicara, demi menjayakan watak Elle, Sangeeta harus menjalani latihan dan mendapat tunjuk ajar daripada pelagak ngeri profesional untuk melakonkan babak-babak aksi di Bangkok, Thailand.
“Mental dan fizikal harus kuat untuk melakonkan watak Elle. Berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini, watak Elle memerlukan saya banyak bermain dengan bahasa tubuh.
“Tidak banyak dialog dan sebagai seorang pelakon, saya kini sedar melakonkan karakter yang kurang dialog adalah lebih sukar berbanding melakonkan watak yang banyak memerlukan lontaran dialog,” jelasnya.
Tekanan
Ditanya mengapa dia bersetuju untuk melakonkan watak Elle, wanita berkenaan amat prihatin dan risau dengan nuansa zaman sekarang yang banyak bergantung pada kuasa teknologi atau internet yang tidak terbatas.
“Saya terkejut apabila mengetahui bahawa Malaysia adalah negara yang paling banyak kes membabitkan pornografi kanak-kanak di Asia Tenggara. Siapa sangka walaupun negara kita aman dan cukup segalanya, hal sebegini semakin menjadi-jadi serta merisaukan.
“Dalam pada itu, zaman sekarang banyak keburukan yang datang daripada dunia siber seperti berita palsu dan scamming (penipuan).
“Bayangkan, dengan hanya satu butang tetikus, berita yang tidak benar tersebar dan orang tidak bertanggungjawab mudah ‘membuat’ duit,” terang Sangeeta panjang lebar.
Sejak menang banyak trofi sebagai pelakon wanita terbaik dalam beberapa acara berprestij tanah air, Sangeeta tidak menafikan dia banyak menerima tawaran berlakon daripada produksi perfileman Melayu.
Katanya, menjadi misinya untuk mengembangkan namanya pada tahap yang lebih tinggi tanpa mengira perbezaan bahasa mahupun bangsa.
“Ya, benar saya mendapat banyak tawaran berlakon daripada produksi Melayu selepas kejayaan filem Adiwiraku. Saya tidak mempunyai masalah untuk berlakon dalam mana-mana filem asalkan ia mempunyai kualiti yang baik.
“Lagipun, saya tidak mahu hanya terperangkap dengan kejayaan dengan sesebuah watak atau filem sahaja sampai bila-bila. Benar, Adiwiraku banyak memberi ruang kepada saya untuk meneruskan kemaraan dalam industri perfileman Malaysia, namun saya ingin sentiasa mencuba sesuatu yang baharu,” kata Sangeeta.
Semakin terkenal dan dihargai khalayak, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menafikan kadang-kadang dia mengalami tekanan untuk terus memberikan komitmen yang terbaik sebagai seorang pelakon.
“Ya, tekanan datang daripada peminat yang sentiasa mahukan kualiti yang lebih baik daripada apa yang telah saya tonjolkan dalam Adiwiraku.
“Secara peribadi, saya tidak pernah melihat sebarang persaingan dengan pelakon lain yang sama-sama mencari rezeki dalam bidang ini. Saya anggap orang lain seperti kawan baik kerana kalau selalu fikir ingin bersaing dengan orang lain, memang susah untuk mendapatkan hasil yang bagus,” ujarnya.
Sebelum menggulung wawancara, sengaja Sangeeta diusik pertanyaan tentang pendiriannya, adakah dia semakin selektif atau bersifat demand ketika diberikan tawaran. Sambil merendah diri dan bersahaja, jawabnya:
“Seperti saya katakan tadi, kalau diberikan karya dan karakter bagus, saya rela berlakon tanpa dibayar. Kalau dapat berlakon filem sebagus Adiwiraku, saya memang rela berlakon tanpa dibayar kerana kepuasan akan datang daripada hasil kerja yang bagus.”