Awi Rafael kenal tunang ketika masih bercinta dengan Hanez Suraya


Awi kenal Atikah ketika dia masih bergelar kekasih kepada Hanez Suraya.

Penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael mendedahkan bahawa perkenalan dengan tunangnya, Atikah Suhaimie berlaku lapan tahun ketika dia masih bergelar kekasih kepada pelakon Hanez Suraya.

Bagaimanapun Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, berkata, hubungan dengan pelakon kontroversi itu semakin serius sejak lima bulan lalu.

“Sebenarnya saya kenal Atikah sudah tujuh ke lapan tahun lalu. Ketika itu saya masih kekasih kepada Hanez Suraya.

“Tapi kami hanya kenal dan berhubung sebagai kawan sahaja. Namun lima bulan lalu, saya dan dia semakin rapat serta mula merancang untuk ke arah yang lebih serius,” kata pelantun lagu Manusia Sempurna kepada Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Awi lagi, sifat penyabar dan tenang serta sentiasa bersikap Atikah membuatkan hatinya terpikat.

“Atikah seorang yang sangat penyabar dan tenang orangnya. Dia juga sentiasa positif dan sifat-sifatnya itu membuatkan saya terpikat,” ujarnya.





Dalam pada itu, Awi juga ada mencipta sebuah lagu istimewa berjudul Rahasia yang didedikasikan khas buat tunangnya itu. Lagu tersebut akan dimuatkan dalam album studio terbaharu Awi berjudul Euphoria yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Ya, saya cipta lagu Rahasia untuk Atikah. Saya rasa sudah sampai waktunya untuk bergerak ke arah yang lebih positif berkenaan jodoh. Alhamdulillah,” kata Awi yang merancang untuk bernikah tahun depan.

Selain Awi, 10 peserta Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) terdiri daripada enam peserta berkumpulan iaitu Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah dan Heliza serta Hazwani (pasangan duo).

Lima lagi peserta solo ialah Adeep Nahar, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

GGV2 akan disiarkan secara langsung selama tujuh minggu dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu bermula 31 Mac ini pukul 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135). - K! ONLINE

Post a Comment

Previous Post Next Post