Alvin Chong Enggan menyesal di usia tua


Sekitar 2016, tidak pernah terlintas di fikiran jejaka berketurunan Cina bernama Alvin Chong ini untuk berbicara dalam bahasa Melayu, apatah lagi mahu didamba menjadi pujaan gadis-gadis berlainan kaum.

Itu cerita dua tahun sudah. Kini, pemilik nama sebenar Alvin Chean Wah Chong, 27, itu bukan lagi sekadar satu tag nama dalam pasaran industri seni tempatan.

Fenomena yang diletuskan Alvin menerusi repertoir drama Melayu seperti Dia Semanis Honeymoon, Suri Hati Mr. Pilot dan Awak Suka Saya Tak? sudah cukup untuk mengangkat namanya sebaris dengan hero-hero baharu kesayangan peminat, lihat saja jumlah pengikutnya di laman sosial yang hampir mencecah angka satu juta.

Itu belum dikira lamaran demi lamaran yang diterima Alvin sebagai duta produk, antaranya kamera, kereta, jam tangan dan telefon pintar yang sekadar menanti masa untuk diuar-uarkan secara rasmi kepada khalayak.

“Saya masih ada pelat ketika berbahasa Melayu dan tidak kisah ditertawakan, janji diperbetulkan. Mujurlah, saya ramai berkawan dengan rakan-rakan Melayu.

“Ada juga beberapa kejadian kelakar, contohnya hendak sebut kerap namun yang keluar kerip, selain mahu menyebut badut tetapi tersebut badak,” ungkapnya melentur tawa kepada Sensasi Bintang.

Cuma, itu bukan alasan buat pemuda kelahiran George Town, Pulau Pinang ini yang sama sekali tidak menganggap pasaran Melayu sebagai batu loncatan buatnya dikenali ramai.

“Setiap peluang disifatkan 50-50, jadi saya akan buktikan ia sesuatu yang berbaloi. Meskipun harus bermula daripada bawah pun tidak mengapa asalkan tiada penyesalan ketika usia tua nanti,” getusnya penuh makna.

Bakat yang dimiliki Alvin juga tidak sekadar terhad menghiasi untaian naskhah di layar kaca terutamanya apabila semakin menggamit perhatian khalayak menerusi single ciptaan Sid Murshid yang berjudul Mencintaimu yang pernah dijadikan runut bunyi drama My Coffee Prince sedikit masa lalu.

“Ramai juga yang tidak menyangka saya sebenarnya yang menyanyikan lagu berkenaan, bagi saya ia satu komen positif kerana ada peningkatan berbanding single Melayu pertama berjudul Lagumu dua tahun lepas.

“Cuma bagi saya, soal sama ada saya benar-benar berkemampuan menguasai bahasa Melayu dengan baik hanya akan terbukti sebaik menjadi hos sebuah program televisyen swasta pada Mei depan,” ceritanya lagi.



Tawan Filipina dan Indonesia

Tidak hairanlah, jejaka kacak ini enggan berterusan dibuai mimpi indah dalam zon selesa apabila bakal mengembangkan sayap ke Filipina dan Indonesia dalam masa terdekat.

“Kita kena lakukan sesuatu dan buktikan ada kerlipan bintang dalam kalangan pengamal seni tempatan. Sepatutnya, ia lebih mudah dengan kuasa internet, namun kenapa tiada?

“Saya tidak mahu popular dalam satu malam, sebab itu lebih suka mendakinya perlahan-lahan kerana memang sukar untuk kekal lama dalam industri.

“Disebabkan itu, saya perlu sentiasa menambah baik serta membina karier di luar negara sekali gus dijadikan motivasi dan inspirasi kepada orang ramai,” ujarnya yang bakal berkolaborasi bersama beberapa artis Indonesia dan Filipina selepas ini.

Cerita Alvin, kesukaran untuk pergi sejauh ini berbanding ketika bakatnya mula-mula dicungkil menerusi program realiti Astro Star Quest sekitar 2009 sentiasa dijadikan pedoman untuk dia tidak mudah alpa serta kekal merendah diri.

“Ketika mula menyanyi pada 2009 sebelum tampil dengan single berbahasa Mandarin pertama dua tahun kemudian, peminat cuma tahu siapa Alvin, namun tidak kenal muka.

“Senang cerita, dengar nama saja orang tahu, tetapi lihat muka saya orang tak kenal. Jadi, saya mahu mengelak untuk kekal menjadi seperti itu serta masih mahu terus belajar dan belajar.

“Jika ia tidak menjadi, sekurang-kurangnya saya sudah mencuba,” jelasnya yang bakal tampil dengan kombo tiga single berlainan bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin selepas ini.

Ditanya mengapa dia tidak mengikut jejak langkah artis-artis berketurunan Cina yang lebih cenderung mencuba nasib di Taiwan, Alvin memiliki jawapannya tersendiri.

“Saya perlu menjadi unik, di sana juga boleh berbahasa Cina, jadi apa kelebihan saya untuk diterima di sana sementelahan pula saya bukan berasal dari situ.

“Kebolehan dan kesabaran juga perlu diambil kira kerana saya percaya setiap kehendak pasti ada jalan, cuma perlu tahu jalan mana yang harus dipilih,” ungkapnya tenang.



Kontroversi

Lumrah menjana rezeki dalam dunia seni tempatan, Alvin juga tidak boleh lari daripada dihambat kontroversi peribadi apabila dikatakan antara punca pergaduhan antara peminat rakan segandingannya dalam drama Awak Suka Saya Tak?, Emma Maembong bersama hos Gema Gegar Vaganza, Siti Nordiana baru-baru ini.

“Ia sekadar satu salah faham. Ketika itu, saya baru selesai menjalani urusan di Krabi, Thailand dan kebetulan Nana juga berada di sana.

“Ketika kami berbual kosong di laman sosial, tidak sangka ia sengaja dijadikan punca perdebatan netizen yang mempersoalkan tindakan kami tidak berbual di aplikasi lebih peribadi seperti WhatsApp pada waktu itu,” ceritanya berterus-terang dan enggan memanjangkan kontroversi berkenaan.

Pada masa sama, Alvin juga menolak andaian umum kononnya dia dan Emma kini menyulam satu rasa dipanggil cinta terutamanya ketika menerima ucapan istimewa Emma dan dipanggil ‘Baby Pus’ sempena ulang tahun kelahiran Alvin pada 23 Januari lepas.

“Kami sekadar berkawan biasa, tidak lebih daripada itu. Jadual saya juga cukup padat untuk memikirkan soal hati, rumah tangga dan sebagainya.

“Sudah tentu kalau boleh mahu berkahwin sebelum berusia 30 tahun, tapi saya memiliki tanggungjawab bersama mereka yang mempercayai dan membuat pelaburan bisnes terhadap saya, jadi tidak akan sia-siakan kepercayaan itu,” ungkapnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post