Fadlan Hazim Dia sedang dalami ilmu Islam


Sejak berkecimpung dalam dunia hiburan, pelakon kacak, Fadlan Hazim boleh dikatakan antara anak seni yang belum pernah dikaitkan dengan gosip percintaan dengan mana-mana rakan artis. Bahkan, dia juga bukanlah seorang yang suka menjaja cerita peribadi kepada umum.

Bagaimanapun, sejak belakangan ini, pelakon drama Papa Ricky itu dilihat semakin terbuka untuk berkongsi kepada umum mengenai insan yang selama ini berjaya mencuri hatinya. Apa yang pasti, kisah percintaan Fadlan ini lebih menarik kerana ia merupakan sebuah percintaan yang melibatkan pertembungan dua bangsa, Melayu-Cina.

Katanya, kekasih hati yang dikenali dengan nama Julie Anne Kang itu kini bakal bergelar mualaf dalam masa terdekat. Walaupun masih tidak menetapkan tarikh, pelakon berusia 26 tahun itu memberi bayangan bahawa kekasihnya yang juga merupakan seorang pereka kasut itu sedang giat menimba ilmu berkaitan agama Islam.

“Dia bakal bergelar mualaf tidak lama lagi. Insya-Allah buat masa sekarang dia sedang mendalami agama Islam. Saya pun sebenarnya tidak mahu dia melakukan itu disebabkan hanya kerana kami mahu berkahwin. Biarlah, hatinya terbuka untuk menerimanya seikhlas hati.

“Sekarang pun, saya turut menemaninya untuk mengikuti kelas bagi mempelajari lebih banyak mengenai Islam. Mana yang saya boleh bantu, saya akan bantu,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.





Sudah mengenali wanita seusianya itu sejak zaman persekolahan, Fadlan boleh dianggap beruntung kerana hubungan mereka diterima baik dalam kalangan keluarga masing-masing.

“Dalam keluarga kami pun memang ada yang berkahwin campur. Jadi, perkara itu tidak menjadi masalah. Cumanya, mungkin ada individu yang cuba mempertikaikan hubungan kerana kami perbezaan bangsa. Pada saya perkara itu tidak perlu timbul kerana kita semua adalah bangsa Malaysia.

“Mereka yang pertikaikan bangsa ini pada saya bukanlah seorang rakyat Malaysia yang sejati. Lagipun kita hidup berbilang kaum di sini,” katanya yang tertarik dengan Julie kerana sifat pandai berdikari yang ada padanya.

Cerita Fadlan lagi, jika tiada aral, dia merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun depan.

“Insya-Allah kalau ikut perancangan kami mahu berkahwin pada tahun depan. Buat masa ini kita cuba stabilkan kewangan dan kuatkan rohani terlebih dahulu,” kongsinya yang membintangi drama Tak Ada Cinta Sepertimu yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Bercerita lanjut mengenai drama tersebut, kata Fadlan dia memegang watak sebagai seorang jutawan muda yang lupa diri dan bersikap angkuh.

“Dalam drama itu karakter saya sebagai Azam digambarkan sebagai seorang lupa diri kerana kekayaan yang dimiliki. Sudut negatifnya, Azam merasakan bahawa dengan wang dia mampu beri kebahagiaan.

“Bagaimanapun, dalam sifat angkuhnya itu, sebenarnya dia mempunyai sisi yang baik juga. Ini kerana, dia seorang yang sentiasa mahukan yang terbaik buat anak perempuannya,” katanya yang memberitahu drama itu bersiaran selama 16 episod arahan sutradara Jamal Khan.

Post a Comment

Previous Post Next Post