Sufian Suhaimi tidak berdendam, keluarga Elfira Loy pulangkan cincin tunang


Gambar kenangan Elfira dan Shuhaimi ketika majlis pertunangan mereka.

Penyanyi Sufian Suhaimi mengesahkan pertunangannya dengan pelakon Elfira Loy telah terputus secara rasmi dan mengikut adat selepas cincin pertunangan dipulangkan kepada keluarganya di Muar, Johor pada Ahad lalu.

Sufian, 25, berkata, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin telah datang memulangkan cincin pertunangan kepada keluarganya, sementara Elfira dan ibunya Filzah Yusoff kini berada New York, Amerika Syarikat atas urusan kerja.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan semuanya sudah selesai mengikut adat. Terima kasih untuk segala doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Pertunangan kami sudah putus, namun hubungan kami tetap baik sahaja. Tiada dendam antara kami dan saya mendoakan semoga Elfira ditemukan dengan jodoh yang baik dan berharap doa yang sama untuk diri saya,” kata Sufian ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah pelantun lagu Terakhir itu, dia enggan memanjangkan cerita mengenai pertunangannya yang putus kerana percaya jodoh mereka tidak panjang.



Sebaliknya, dia mahu terus fokus terhadap kerjaya seni dan mengubat kekecewaan dengan berkarya.

“Saya akan ingat tarikh 23 atau 24 Mac depan yang sepatutnya hari perkahwinan saya. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan kongsi perasaan putus cinta ini dengan anda semua menerusi sebuah lagu.



“Kalau orang kata saya tidak move on lagi, itu pendapat mereka. Sudah menjadi lumrah untuk saya berkongsi perasaan suka mahupun duka melalui karya lagu. Saya reda dengan cinta yang tidak kesampaian ini,” ujar Sufian.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu selepas lapan bulan bercinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post