Menjawab pengakuan teman wanita Emma Maembong yang mendedahkan sudah tidak lagi mempunyai hubungan istimewa dengannya, pelakon Kamal Adli enggan memberikan komen lanjut dan mengatakan kini dia serabut ingin terus memikirkan perkara tidak berkesudahan itu.
Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 32, berkata, dia tidak ingin lagi mengeruhkan keadaan dengan memberikan kenyataan yang sia-sia berkenaan hubungan cintanya dengan pelakon jelita itu.
“Pengakuan itu keluar daripada mulut Emma dan saya pun tidak begitu pasti tentang kesahihannya. Cerita seperti ini sudah keluar banyak kali dan berulang kali. Saya malas untuk komen panjang lebar.
“Kalau saya terus fikir, buat serabut kepala sahaja. Lebih baik berdiam diri dan kalau ada perkara serius yang boleh dikongsi, saya sendiri akan tampil memberi keterangan,” kata Kamal ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, hubungan cinta Adam dan Emma beberapa kali dilanda badai dan didakwa sudah tidak lagi bersama. Oktober tahun lalu, berlaku salah faham antara pelakon drama Bio-Nik itu dengan pelakon, Zahirah Macwilson sehingga menyebabkan hubungan Kamal dengan Emma seperti retak menanti belah.
Hujung minggu lalu, melalui satu ruangan hiburan akhbar tempatan, Emma memberi kenyataan hubungan dia dengan Kamal sudah hancur yang mendapat reaksi pelbagai netizen.