Pertunangan Sufian dan Elfira telah putus secara rasmi pada Ahad lalu.
Berita putus tunang antara penyanyi Sufian Suhaimi dengan pelakon Elfira Loy mencuri perhatian ramai
Ada yang berpendapat, ketika cinta masih ‘manis’, mereka bermegah-megah berkongsi perihal peribadi membabitkan kisah cinta.
Namun, apabila apa yang dirancangkan tidak menjadi kenyataan, baik Sufian mahupun Elfira masing-masing mengunci mulut.
Mengikut perancangan, mereka sepatutnya bernikah pada tanggal 23 atau 24 Mac depan.
Sufian bagaimanapun mendedahkan, pertunangan mereka telah putus secara rasmi selepas bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin datang memulangkan cincin pertunangan kepada keluarganya di Muar, Johor pada Ahad lalu.
Pelantun lagu Terakhir itu reda jodohnya dengan pelakon Ekspres Dania berkenaan tidak panjang. Biarpun pahit, dia sentiasa mendoakan agar bekas tunangnya itu dipertemukan jodoh yang baik.
Kosmo! semalam sempat menemu bual Sufian dan menurutnya, dia tidak menyimpan dendam terhadap Elfira. Andai tuntutan kerjaya dalam bidang seni memerlukan mereka bekerjasama pada masa depan, dia terbuka dan akan bersikap profesional.
Kata Sufian lagi, dia dan Elfira memutuskan tali pertunangan dengan cara yang baik. Hari demi hari, dia sudah boleh menelan ketentuan takdir bahawa Elfira bukan jodohnya dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa.
KOSMO!: Difahamkan, pertunangan Sufian dan Elfira sudah putus dengan cara baik serta mengikut adat. Boleh ceritakan sedikit apa yang berlaku?
SUFIAN SUHAIMI: Ya, pada Ahad lalu, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin telah memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga saya di Muar, Johor. Proses putus tunang berlaku mengikut adat resam Melayu.
Semuanya sudah selesai dan berakhir dengan cara yang baik. Kalau orang tanya keadaan saya sekarang, saya okey dan sudah boleh telan kenyataan ini.
Bilakah kali terakhir anda dan Elfira berkomunikasi?
Kami ada berkomunikasi baru-baru ini, namun saya rasa tidak perlu untuk memperincikan apa yang dibincangkan. Bagi saya, apa yang sudah berlaku, biarlah berlalu. Saya reda dengan ketentuan ini. Saya doakan yang terbaik buat Elfira dan semoga dia dipertemukan dengan lelaki sempurna selepas ini.
Adakah kalian akan bersikap profesional jika perlu bekerjasama pada masa depan?
Kami putus tunang dengan cara baik dan langsung tiada dendam. Saya bersedia dan bersikap terbuka seandainya selepas ini diberi peluang untuk bekerjasama dengan Elfira. Saya sudah boleh memulakan kisah baharu dan terima realiti kami memang tiada jodoh.
Jika ada peluang untuk bekerjasama menerusi produk seni selepas ini, saya memang tiada masalah.
Anda mendapat banyak kata-kata semangat daripada peminat dan rakan-rakan selebriti seperti Sharnaaz Ahmad, Aiman Tino, Haqiem Rusli, Ernie Zakri dan Heliza Helmi selepas tersebarnya berita putus tunang. Bagaimana reaksi anda dengan sokongan sebegitu?
Saya hargai sokongan dan kata-kata semangat daripada peminat dan rakan-rakan artis. Semuanya sudah selesai dengan cara baik dan saya terharu sebenarnya kerana banyak tidak henti memberikan dorongan serta kata-kata semangat. Terima kasih kepada semua orang yang mendoakan perkara baik-baik.
Khabarnya anda akan melancarkan sebuah lagu baharu tidak lama lagi. Adakah lagu tersebut tercipta daripada perasaan kecewa selepas putus tunang?
Sebagai seorang anak seni, saya mempunyai hak untuk berkongsi perasaan melalui karya. Tidak kiralah sama ada perkara yang telah berlaku, suka ataupun duka. Jadi, saya akan cuba berkongsi perasaan melalui lagu.
Saya tidak akan lupakan tarikh 23 atau 24 Mac depan yang sepatutnya menjadi detik perkahwinan kami. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan kongsi dengan anda semua.
Mengikut perancangan, saya akan melancarkan single keempat berjudul Di Matamu tidak lama lagi.