Mohar mahu hasilkan lagu terapi


Keberadaan pemuzik instrumental, Muhardiman Ismail, 52, atau lebih dikenali sebagai Mohar daripada kumpulan Mohram dalam dunia muzik sudah berakar sekian lama. Tampil solo, Mohar meluahkan hasrat untuk menghasilkan album mini pada tahun ini.

“Saya mahu mengeluarkan album mini yang memuatkan lagu-lagu terapi. Sebenarnya, saya masih dalam peringkat mengumpul material yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam album mini itu nanti.

“Ikutkan perancangan, saya mahu mengeluarkan album mini itu pada tahun ini tetapi semuanya bergantung pada bajet,” katanya saat ditemui ketika membuat persembahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Elmina arah selatan, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Peniup seruling profesional itu memberitahu, dia mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menghasilkan lagu yang diinspirasikan melalui bunyi alam semula jadi.

“Saya memilih untuk menghasilkan lagu terapi kerana tiada genre seperti itu diketengahkan di negara kita.

“Sedangkan di luar negara seperti Jepun dan Indonesia, mereka sudah menghasilkan lagu seperti itu dan tidak salah rasanya jika saya mahu cuba untuk menghasilkannya,” katanya.



Bunyi alam

Kongsi Mohar lagi, dia mula mengumpul material sedikit demi sedikit sejak 10 tahun lalu.

“Setakat ini, sudah ada lima hingga enam lagu sudah ada dalam simpanan saya untuk dimuatkan dalam album mini itu.

“Bunyi-bunyian unsur alam seperti kicauan burung dan deruan air menjadi asas utama dalam penghasilan lagu itu nanti,” jelasnya yang percaya, lagu terapi mampu membantu meredakan tekanan seseorang.

Tambah Mohar: “Durasi lagu terapi ini agak panjang dengan kira-kira 10 minit diperuntukkan untuk sebuah lagu. Oleh itu, saya hanya mahu memuatkan sebanyak lima atau enam lagu sahaja nanti.”

Mohar kini terlibat dalam sebuah program khas, Buskers Corner @GCE anjurkan Prolintas Expressway Sdn.Bhd. (Prolintas) dengan kerjasama ONR Production.

Menerusi program yang julung kali diadakan itu, terdapat enam lagi pemuzik selain Mohar yang mengadakan persembahan di beberapa lokasi hentian R&R.



“Saya mengadakan persembahan di hentian R&R Elmina ini setiap hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad pada pukul 2 petang hingga 10 malam sejak Januari lalu.

“Dengan adanya platform seperti ini, ia sekali gus memberikan platform buat pemuzik untuk berkarya dan ruang yang selesa mengadakan persembahan,” jelasnya yang memainkan lebih 30 buah lagu untuk dihayati pengunjung R&R itu.

Selain program Buskers Corner @GCE, Prolintas juga menyediakan lokasi khas untuk aktiviti jualan car boot sale, sekali gus menjadikan hentian R&R sebagai pusat sehenti bagi aktiviti hujung minggu.

Post a Comment

Previous Post Next Post