Seperti dua album sebelum terdahulu, Maudy Ayunda masih meletakkan penceritaan tentang patah hati seorang wanita sebagai tema utama dalam lagu-lagunya.
Mungkin Maudy sendiri bermula sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu galau sehingga menyebabkan karya sedemikian begitu akrab dengan jiwanya.
Sebagai bukti, lagu-lagu seperti Aku Atau Temanmu yang dipetik daripada album Panggil Aku... (2011) dan Bayangkan Rasakan yang dimuatkan dalam Moments (2014) masih kerap dimainkan oleh peminat khususnya dalam platform digital seperti Spotify dan YouTube.
Meneruskan resipi sama tetapi sedikit berbeza dari segi nuansa dan gaya penerbitannya, Maudy mempertaruhkan jalur muzik lebih moden untuk album studio ketiganya, Oxygen.
Menghadiahkan khalayak dengan single pertama, Jakarta Ramai, Maudy terus mengajak pendengar untuk meniti muzik baharunya menerusi dua buah lagi single yang dipasarkan pada tahun lalu iaitu Satu Bintang Di Langit Kelam dan Kutunggu Kabarmu.
Rasa galau penyanyi berusia 24 tahun itu jelas kelihatan pada tiga single terawal yang turut dimuatkan bersama sembilan lagi trek dalam Oxygen.
Cuma sedikit berbeza, kisah patah hati yang diangkat Maudy kali ini lebih kedengaran dewasa dan terkini, hasil bantuan komposer-komposer muda yang turut menuangkan sisi kreatif masing-masing.
Rendy Pandugo contohnya menulis untuk dua buah trek iaitu Aku Sedang Mencintaimu dan Be Right Back. Kedengaran segar, kedua-dua lagu tersebut masih mengekalkan gaya muzik santai yang pernah disuntik dalam dua album terdahulu.
Begitupun, masih ada lagu yang dibikin di luar ruang selesa Maudy. Lagu Alasan Untuk Bahagia dipersembahkan ala retro, lengkap dengan gorengan gitar elektrik pada muzik latarnya.
Trek yang dipilih sebagai judul album, Oxygen turut meletakkan Maudy dalam satu dimensi muzik berbeza. Dicipta oleh komposer Malaysia, Audi Mok, lagu yang sarat dengan bunyi-bunyi elektronik tersebut cemerlang dibawakan oleh Maudy.
Sedikit janggal apabila melihat nama komposer Malaysia pada kredit nama penulis lirik penyanyi dari seberang, namun Audi berjaya membawa Maudy keluar daripada kepompong menerusi sebuah karya yang kaya dengan simbol dan metafora.
Tidak sekadar pandai menyanyi, Maudy turut memiliki bakat dalam bidang penciptaan lagu. Menerusi album ini, Maudy mempertaruhkan dua buah lagu hasil nukilannya sendiri iaitu Home To You dan Kini Dan Selamanya.
Biarpun tidak menonjol seperti lagu-lagu lain, namun sekurang-kurangnya, Maudy mampu mengabadikan rasa yang ada dalam jiwanya dalam dua karya berbeza.
Maudy bergerak seiring dengan inovasi yang berlaku dalam industri muzik global. Namun, mungkin dirinya masih belum cukup bertuah untuk menggenggam pengiktirafan besar, lalu membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan penyanyi gred A Indonesia lain seperti Raisa dan Isyana Sarasvati.