Sewaktu menjuarai program realiti nyanyian kanak-kanak, Ceria Popstars pada 2014, usianya baru mencecah 14 tahun. Kemudian, Masya Masyitah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada industri seni hiburan tanah air.
Tindakan tersebut bukan kerana kehadirannya tidak disambut mesra oleh industri tetapi pemilik nama Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff itu lebih memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran.
Setelah hampir tiga tahun menyepi, Masya kini telah bersedia untuk bersaing dalam lapangan seni hiburan tempatan, sekali gus hadir dengan single baharu berjudul Mawar Terbiar.
Lagu yang mendapat sentuhan daripada Hang Nadim dan Laq itu juga mendapat reaksi positif dalam kalangan penggemar muzik tanah air apabila klip videonya kini meraih hampir sejuta tontonan di laman YouTube sejak dimuat naik pada Disember 2017.
Meskipun wujud segelintir pandangan memperbandingkan antara single baharunya itu dengan pertama bertajuk Teman Bintang yang dihasilkan sepenuhnya oleh Aiman pada 2014, Masya bagaimanapun yakin setiap karya memiliki kekuatan tersendiri.
Tambahan, peralihan usia turut memainkan peranan terutama melibatkan intonasi suara yang lebih matang, sekali gus bersesuaian dengan tangga umurnya kini memasuki angka 18 tahun.
Masya yang kini tampil dengan imej lebih dewasa berbanding awal kemunculan turut menanam impian mencipta nama di tanah air sendiri selain turut berusaha menembusi pasaran muzik negara China.
Memiliki kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin nyata membuka peluang mudah buat Masya untuk terbang ke negara terbabit memandangkan dia merupakan salah seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Chio Min, Kulim, Kedah.
“Sejak awal lagi saya mempunyai perancangan untuk mencipta nama di China kerana pasaran muzik di negara berkenaan jauh lebih luas berbanding tempatan.
“Bukan bermaksud memburukkan negara sendiri tetapi saya ingin mencabar diri untuk mencipta nama di negara luar. Ia sekali gus memberi peluang untuk saya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” ujarnya optimis.
Peluang
Menyedari bukan mudah untuk merebut peluang di negara orang, Masya bagaimanapun yakin dengan pilihannya selain nekad membulatkan hati menembusi pasaran muzik di China.
Tambah artis naungan Rocketfuel Records itu lagi, landskap muzik yang luas di negara tersebut secara tidak langsung menawarkan peluang keemasan buatnya meraih kedudukan.
Keinginannya itu turut mendapat sokongan keluarga dan ia secara tidak langsung dijadikan sebagai pembakar semangat buat dirinya berusaha lebih gigih agar tidak mensia-siakan peluang yang ada.
Demi membuktikan kesungguhannya berkelana ke republik terbabit, Masya menyertai pertandingan Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong 2016 dan nyata tuah menyebelahinya apabila dia berjaya menjadi naib juara.
“Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya sewaktu menyertai pertandingan tersebut dan ia lantas menjadi titik permulaan untuk mencorak masa depan di rantau orang kelak,” kata Masya sambil tersenyum.
Masa depan
Sejurus selepas tamat persekolahan tingkatan lima, Masya tidak menafikan dia mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Namun, fokus kepada kerjaya menjadi pilihan utama pada masa sekarang sebelum dia bersedia mengalas tanggungjawab sebagai pelajar institusi pengajian tinggi.
“Saya ingin fokus kepada kerjaya nyanyian kerana segalanya baru sahaja bermula. Mengenai melanjutkan pengajian, saya serahkan kepada takdir dan keadaan.
“Sekiranya keadaan mengizinkan dan tidak mempunyai kekangan, saya akan melanjutkan pengajian kelak,” jelas Masya mengenai perancangan masa depannya.
Selain mencuba nasib sebagai penyanyi, Masya turut tidak keberatan untuk mencuba kerjaya lakonan meskipun mengakui hadir perasaan gentar dalam dirinya untuk beraksi di hadapan kamera.
Sekadar keinginan untuk mencuba, Masya turut mengharapkan namanya tidak hanya mekar harum sebagai penyanyi tetapi dia juga ingin dikenali sebagai pelakon.
Berbanding mengukir nama di tanah air sendiri, bintang yang kini sedang meningkat naik, Masya Masyitah lebih berminat untuk melebarkan sayap ke persada seni muzik di negara China, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi.