Sufian Suhaimi Tak ada kena-mengena


“Berat bagiku melepaskanmu, bukan mudah bagiku melalui semua ini, pabila kenangan kita mengusik jiwa dan hati.”

Itu antara bait lirik lagu Terakhir nyanyian Sufian Suhaimi, 25, yang cukup kena bagi menggambarkan apa yang berlaku antara dia dengan pelakon Elfira Loy, 23, ketika ini.

Pasangan itu bertunang pada 6 Oktober tahun lalu akhirnya memilih untuk meleraikan ikatan cinta mereka pada 18 Februari lalu yang dibuat mengikut adat oleh keluarga masing-masing.

Enggan membiarkan apa yang berlaku menguasai diri, Sufian akui meluahkan segala yang dilalui menerusi lagu Di Matamu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Sufian menafikan lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu ditujukan kepada bekas tunangnya, Elfira.

“Ada pepatah Inggeris berbunyi, ‘a broken heart creates a masterpiece’.

Jadi, saya ingin berkongsi apa yang saya rasa melalui lagu. Cuma single keempat saya ini tidak ditujukan kepada mana-mana pihak atau berkaitan dengan kisah putus tunang.



“Komposer lagu ini yang juga rakan saya, Sirkhan tahu banyak mengenai kehidupan saya. Kiranya lagu ini diilhamkan dari apa yang pernah saya ceritakan kepadanya. Genre lagu ini lebih kepada ‘powerful ballad’,” katanya.

Sufian yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-31 berkata lagu itu ditulis secara berperingkat sejak tahun lalu.

“Macam yang dikatakan, lagu ini berdasarkan pengalaman saya dari dahulu sehingga sekarang. Lagu ini bukan baru dibuat, sebaliknya dihasilkan secara berperingkat sejak tahun lalu.

“Cuma baru tahun ini ia sempurna menjadi sebuah lagu. Tidak dinafikan pasti ada beranggapan saya tujukan lagu ini untuk bekas tunang, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan,” katanya.

Pada masa sama, Sufian tidak menjangka pengalaman putus tunang itu berlaku ketika dia merancang untuk melancarkan single terbaru.

Malah, Sufian sejak awal lagi menepis persepsi segelintir pihak yang menyifatkan dia menggunakan kisah putus tunang sebagai strategi melariskan lagu itu.

“Sudah tentu ini semua kebetulan. Semasa lagu ini ditulis, tidak pernah bayangkan ini pengakhiran kisah cinta saya. Malangnya apa yang berlaku adalah benar dan ia begitu menyakitkan.

“Untuk apa saya nak gunakan kesempatan ini sebagai strategi memasarkan lagu? Ada banyak cara lain boleh digunakan. Saya tidak pernah terdesak ke arah itu. Namun begitu, saya tidak boleh menutup mulut orang untuk terus bercakap,” katanya.



Masing-masing luah perasaan

Sama seperti lirik lagu Terakhir itu, Sufian menerusi status Instagram miliknya meluahkan isi hati yang hari pertunangan mereka adalah hari terbaik pernah dilalui dalam hidup.

Kenyataan itu ditulis Sufian bagi menggantikan status lama gambar dia bersama Elfira ketika majlis pertunangan dilangsungkan.

“Pastinya ini menjadi hari terbaik dalam hidup saya. Saya tidak pernah menyesal mengenali anda, cinta,” tulisnya pada gambar yang dimuat naik sehari selepas mereka bertunang.

Sementara itu, Elfira Loy, yang sebelum ini dilihat lebih selesa berdiam diri dan memendam rasa selepas pertunangannya dengan Sufian terlerai, turut meluahkan perasaan di Instagram miliknya.

Elfira memuat naik status itu disertakan dengan puisi berkaitan penyerahan jiwa kepada Yang Maha Esa.

“Saat kau merasa jatuh, saat itu Allah sedang menangkapmu. Saat kau merasa sedih, saat itu Allah sedang memelukmu. Saat kau merasa hampa, saat itu Allah sedang mengisimu.

“Saat kau merasa sepi, saat itu Allah datang kepadamu. Saat kau merasa sakit, saat itu Allah mengubatimu,” tulisnya.

Status itu mendapat lebih 100,000 ‘like’ selain menerima lebih 1,700 komen termasuk daripada rakan artis seperti Fara Fauzana, Mira Filzah dan Liyana Jasmay.

Post a Comment

Previous Post Next Post