Elly Mazlein Ketepi dulu soal pengganti


Lupakan dulu soal pengganti kerana fokus penyanyi dan pelakon popular Elly Mazlein hanya untuk membesarkan anak tunggalnya, Putri Sara Sefhia dengan sempurna.

Menurut Elly, 37, dia juga bekerja keras demi masa depan anaknya itu sejak bergelar ibu tunggal.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan kehidupan bersama anak sekarang. Saya tidak mahu bercerita soal cinta kerana ingin memberi keutamaan kepada anak yang makin membesar.

“Saya ketepikan dulu soal pengganti kerana pernah putus cinta dan berkahwin sebelum ini. Kini sampai masanya saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada keperluan anak pula,” katanya.

Sesibuk mana pun dengan kerjaya seni, Elly tetap membahagikan masa berkualiti bersama anak yang masih kecil.

“Selepas bercerai, sayalah ibu dan bapa kepada anak. Kalau saya tidak bekerja keras, siapa mahu menyara kehidupan saya dan anak yang masih kecil?

“Bekas suami juga tidak pernah memberi nafkah anak sampai hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, Elly bersyukur kerana penerbit dan pengarah drama masih beri kepercayaan kepadanya sampai hari ini.

Malah, tawaran berlakon juga tidak pernah putus diterima hingga hari ini.

Terbaru, Elly terbabit dengan penggambaran drama bersiri Teratai Kemboja untuk Slot Zehra di TV3.



“Saya percaya ia juga rezeki anak kerana tawaran berlakon tidak putus hingga Ogos nanti. Dalam drama Teratai Kemboja, saya juga melakonkan watak antagonis yang menampilkan sisi berbeza dalam lakonan.

“Saya memang menyukai watak jahat kerana ia mencabar lakonan. Dalam cerita ini, watak saya wanita hipokrit dan hati kering,” katanya.

Ditanya sama ada dia selektif dari segi watak, Elly berkata, bidang seni adalah periuk nasinya.

“Saya tidak memilih watak ditawarkan kerana mahukan variasi dalam lakonan.

Setiap tawaran yang datang adalah rezeki dalam bidang seni,” katanya.

Antara drama terbaru lakonannya ialah drama bersiri 40 episod Villa Ghazara.



Masih aktif menyanyi

Mula menyanyi seawal usia 16 tahun, bidang seni memang sudah sebati dengan diri Elly sejak dulu.

Antara lagu popularnya ialah Bakawali dan Usah Di Tambah Bara Yang Tersimpan.

Selepas empat tahun, Elly juga mempertaruhkan single Jeritan Hati untuk mengubat kerinduan peminatnya pada tahun lalu.

“Saya juga masih mempromosikan single Jeritan Hati dan ia juga mendapat sambutan yang baik daripada peminat. Saya juga belum ada perancangan untuk muncul dengan single baru pada tahun ini.

“Pada masa sama, saya juga masih sibuk memenuhi undangan persembahan hingga sekarang,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Elly yang terkenal dengan jolokan Kak Lina Pom Pom dalam program Gegar Vaganza 3 (GV3) berkata, dia juga akan mengembangkan lagi kerjaya seninya.

“Setiap artis ada perancangan masing-masing untuk mengukuhkan nama dalam bidang seni tanah air. Saya juga percaya, artis perlu memiliki produk supaya peminat nampak pembabitan dalam bidang seni.

“Saya juga beri komitmen terbaik pada setiap tawaran yang datang,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post