Penyanyi kelahiran Singapura, Sufi Rashid, mengaku tidak kecewa apabila kemelut keluarga sering menarik perhatian umum.
Katanya, sebagai anak seni, itu adalah lumrah yang perlu dihadapinya. Dia tidak boleh lari dan bersembunyi dari kenyataan.
"Begitulah dunia anak seni, tidak boleh lari dari dikaitkan dengan cerita peribadi. Walaupun belum terkenal tetapi semua orang akan tahu masalah dihadapinya.
"Saya tidak kecewa apabila masalah keluarga ini sering kali menjadi perhatian umum. Kalau saya kecewa, ibaratnya saya kecewa dengan Allah.
"Setiap yang berlaku adalah dugaan dari Allah. Saya terima dengan hati terbuka. Apabila saya pilih jalan hidup sebagai anak seni, inilah situasi yang perlu saya hadapi," katanya.
Pelantun lagu Aku Sanggup itu tidak mahu komen banyak mengenai status Facebook ibunya yang menjadi perbualan hangat netizen baru-baru ini.
Katanya, walaupun ada perselisihan faham namun dia tidak pernah bermusuhan dengan ibunya. Hanya orang luar yang membuat pelbagai spekulasi.
"Dalam hal ini, saya tidak perlu melatah atau memberikan komen balas pada status ibu saya. Apa pun yang terjadi, dia adalah insan yang melahirkan saya.
"Apa yang saya lihat, ada antara rakan-rakan Facebook dia yang bukanlah rakan sebenar. Ada segelintir yang menunggu dia buat status begitu kemudian kongsikan. Ia mengeruhkan lagi keadaan," kata Sufi.
Sufi berkata dia pernah berbincang agar ibunya tidak meluahkan rasa marah menerusi laman sosial kerana ramai yang ingin mengambil kesempatan.
Namun tidak boleh menghalang andai ibunya masih melakukan hal yang sama.