Adu vokal, pengalaman Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli


Iktiraf - Tidak mahu terlalu memikirkan soal menang untuk diri sendiri, Dayang dan Haqiem memandang pentas AJL untuk menyampaikan karya ciptaan komposer dan penulis lirik dengan sepenuh hati.

Prospek pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) bukanlah untuk menilai kekuatan vokal semata-mata, namun pertandingan itu juga merupakan agenda paling besar untuk penggiat seni suara iaitu komposer, penulis lirik dan penyanyi.

Untuk itu, Kosmo! menggandingkan penyanyi berkaliber Dayang Nurfaizah dan pendatang baharu yang semakin mekar mengukir nama di persada seni suara, Haqiem Rusli yang bercerita tentang persediaan dan debaran sebelum masing-masing akan beradu vokal pada pentas penentuan AJL32 malam ini.

Jika diukur dari segi pengalaman, Dayang berada pada aras tersendiri selaku penyanyi terbaik selepas tiga tahun berturut-turut merangkul kemas trofi kemenangan Vokal Terbaik menerusi edisi AJL29, AJL30 dan AJL31. Pada edisi tahun lalu juga Dayang diangkat selaku Juara Lagu AJL31.

Kedudukan itu sekali gus meletakkan penyanyi berusia 37 tahun tersebut berada dalam zon selesa untuk tetap membawa sebarang trofi kemenangan pada edisi kali ini.

Berbanding Haqiem Rusli yang disifatkan baru setahun jagung bergelar penyanyi komersial biarpun ironi, dia mula aktif menyanyi sejak berumur 10 tahun.

Namun pertembungan dua vokal yang memiliki kekuatan untuk lagu-lagu bernada tinggi itu memberi keterujaan kepada peminat untuk menyaksikan gelanggang akhir AJL32 malam esok.

Melihat pencalonan pada AJL kali ini, ia boleh disifatkan penuh warna-warni dengan kehadiran ramai penyanyi baharu dan muda yang menunjukkan taring dengan lagu masing-masing.



Zon Dayang

Antara yang dilihat menyerlah dan mempunyai potensi ialah Syamel, Ernie Zakri, Wany Hasrita, Hael Husaini dan Haqiem Rusli.

Bersyukur dengan segala pengalaman yang dimiliki dalam industri dan pentas AJL, ironi itu bukan satu kelebihan yang membuatkan Dayang berasa dia boleh duduk dalam zon selesa.

Hal ini kerana bagi pelantun lagu Di Pintu Syurga itu, dia melihat penyertaan finalis pada tahun ini memberi saingan tersendiri meskipun separuh daripada mereka adalah pendatang baharu.

“Saya tidak melihat kelebihan kerana kami semua sama rata. Apa yang menjadi jurang antara kami hanyalah pengalaman, itu sahaja.

“Walaupun mereka masih baharu dalam industri tetapi penyanyi muda sekarang berani melakukan pembaharuan dan anjakan dalam muzik mereka. Jadi saya tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan mereka,” ujarnya yang melihat bakat Haqiem dan Syamel mampu memberi saingan.

Tambah penyanyi berasal dari Sarawak itu lagi, apa yang penting, dia mahu memberikan sebuah persembahan terbaik dan akan dikenang oleh peminat.

“Cabaran tetap ada walaupun orang kata saya sudah banyak kali masuk AJL. Sebab peminat meletakkan harapan tinggi tetapi saya tetap manusia biasa.

“Apa yang saya boleh janjikan hanya sebuah persembahan terbaik dari segi vokal. Dalam setiap persembahan berskala besar sebegini, saya sering tekankan jalan penceritaan berbanding penggunaan prop yang berlebihan kerana sebagai penyanyi. Saya mempunyai tanggungjawab besar menyampaikan dengan sepenuh hati kerana pentas AJL adalah untuk mengiktiraf komposer dan pencipta lagu,” ujarnya yang sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan keputusan pada malam esok.



Haqiem ikhlas

Bagi Haqiem pula, hakikatnya dia pernah muncul di atas pentas AJL ke-23 pada tahun 2008 sebagai penyanyi undangan. Pada ketika itu dia baru berusia 10 tahun.

Peluang pertama itu tercipta kerana dia merupakan peserta program kanak-kanak Idola Kecil pada tahun sama.

Selepas 10 tahun, Haqiem kembali memijak pentas AJL, namun kali ini sebagai peserta menerusi lagu hitnya Tergantung Sepi yang dicipta oleh Gouffran dan Ibnu.

Enggan memaksa diri sehingga tertekan dengan pertandingan itu, pemilik nama lengkap Ridzuan Haqiem Rusli itu berkata, dia mahu persembahannya pada malam penentuan esok berjalan dengan tenang seperti dirancang.

“Kalau ditanya tentang perasaan, sudah tentu saya gementar tetapi tidak mahu terlalu memikirkannya kerana menang bukanlah objektif utama.

“Cukuplah sekadar saya beri persembahan yang terbaik dan ikhlas. Saya boleh sampai ke tahap ini pun sudah menjadi kepuasan kerana mampu membahagiakan keluarga dan peminat,” ujarnya yang akan mengubah sedikit tahap nada dalam lagu Tergantung Sepi agar ia mudah dibawa pada malam pertandingan.

Ditanya tentang ekspektasi peminat yang meletakkan dirinya antara pilihan pemenang pada malam pertandingan, Haqiem hanya tersenyum manis sebelum menghulur jawapan.

Baginya, dia masih terlalu muda untuk menerima sebarang pujian melambung sebegitu kerana masih lokek dengan ilmu dan pengalaman berbanding penyanyi senior lain.

“Perjalanan saya masih baharu dan panjang untuk dilalui. Saya ambil segala pujian itu sebagai pemangkin semangat untuk terus memberikan karya-karya terbaik kepada peminat,” ulasnya ringkas.

Menyentuh sedikit perkembangan terkini, Haqiem bakal muncul dengan single keempat, Selamat Tinggal Sayang. Kembali membawa genre balada dalam single itu selepas single ketiganya berjudul Jatuh Bangun berentak rancak, ini penjelasan Haqiem.

“Ini memang strategi yang dirancang selepas mengeluarkan single rancak, saya akan kembali dengan lagu balada. Kelainan untuk single keempat ini, ia lebih tinggi daripada not Tergantung Sepi.

“Kalau orang kata kenapa asyik buat lagu sedih dan berdasarkan kisah hidup, jawapannya mudah, inilah perbezaan saya dengan penyanyi lain,” ujarnya.

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan sebuah album mini pertama yang dijangka dikeluarkan menjelang Mac depan yang turut mengandungi sebuah lagu bahasa Inggeris istimewa buat peminatnya.

Memiliki kekuatan masing-masing dari segi vokal biarpun berbeza pengalaman, Dayang Nurfaizah dan Haqiem Rusli mengatur strategi tersendiri dalam penentuan akhir pentas prestij Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) malam ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post