Penyanyi lagu Luluh, Khai Bahar tidak tertekan biarpun segelintir netizen mengatakan dia akan mengungguli malam Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) berlangsung Ahad ini.
Katanya, setiap peminat pasti mengharapkan penyanyi kesayangan mereka menang anugerah di pentas berprestij itu.
"Apa yang mereka harapkan itu adalah perkara biasa. Mereka ingin lihat penyanyi yang diminati menang pada malam itu.
"Saya tidak tertekan pun apabila mereka meletakkan harapan setinggi itu. Saya tidak mahu terlalu memikirkan hal itu. Saya cuma ingin lakukan yang terbaik.
"Insya-Allah, kalau ada rezeki mungkin saya akan merasai nikmat kemenangan. Apa pun, saya fokus membuat latihan dan mahu menampilkan persembahan terbaik," katanya.
Sementara itu, Khai turut mengucapkan terima kasih atas sokongan peminat terhadap karier nyanyiannya.