Penyanyi dan pelakon popular, Dr Soo Wincci meluahkan rasa terkilan tidak dapat pulang meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarganya di Malaysia.
Wincci kini sedang menyambung pengajian dalam bidang muzik di Berklee College of Music di Sepanyol sejak Julai lalu.
“Saya tidak dapat pulang menyambut tahun baru bersama keluarga kerana terikat dengan jadual belajar dan kerja yang sangat padat di sini.
“Apa pun, kami tetap berhubung menerusi telefon dan memberikan ucapan sempena tahun baru.
“Walaupun berada jauh, namun ia tidak begitu terasa dengan kemudahan teknologi hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Berkongsi sambutan tahun baru tanpa keluarga di sana, kata Wincci, dia dan rakan-rakannya merancang untuk berkumpul bersama.
“Saya dan kawan-kawan di sini akan berkumpul dan makan sama-sama.
“Saya akan masak makanan Malaysia untuk bagi mereka rasa keenakan masakan kita,” ujar anak sulung dari tiga beradik ini.