Nabila Razali luah rasa bimbang


Populariti mendadak yang dikecapi selepas pelancaran klip muzik video, Pematah Hati telah membuatkan penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, bimbang.

Masakan tidak, selepas bekerja keras selama tiga tahun untuk melonjakkan nama di dalam industri, nama Nabila tiba-tiba hit apabila dikatakan bercinta dengan pelakon, Aedy Ashraf.

Namun kisah percintaan itu rupanya hanya gimik bagi pelancaran klip video lagu yang turut dikenali dengan judul Cumi Cumi itu.

"Sejujurnya memang saya bimbang kerana nama saya naik akibat kontroversi.

"Tidak dinafikan juga ada yang ingat saya kerana gimik tersebut tapi Alhamdulillah, kebanyakannya sudah lupa dan lebih fokus pada lagu saya," ujarnya.



Tambah Nabila, 26, dia berharap 2018 menjadi tahun yang lebih baik buatnya dan dia mahu bekerja keras bagi memastikan akan terus kekal di dalam industri.

"Bila orang dah kenal, saya tidak boleh bekerja sambil lewa. Saya juga kena pastikan vokal dan lakonan saya lebih baik dari sebelum ini.

"Jadi selain sibuk dengan karier, saya juga berazam untuk memperbaiki mutu vokal dan lakonan," jelasnya.



Dan sebagai orang baru di dalam industri, dia juga menyimpan impian besar untuk menyaingi rakan seangkatan yang pernah berada di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu hari nanti.

"Sebagai penyanyi, saya percaya, mana-mana penyanyi pun akan menyimpan impian untuk bertanding di pentas AJL.

"Begitu juga dengan saya. Kalau dapat sertai dalam masa terdekat bagi saya itu bonus. Tapi saya sedar diri saya dan jika tidak dapat sertai dalam masa terdekat, saya kira itu peluang untuk saya memperbaiki diri," akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post