Diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai mentor dalam program realiti terbaharu terbitan TV3, Mentor Otai yang dijadualkan bersiaran Mac depan, penyanyi Siti Sarah, 33, turut mendapat kritikan tidak layak menggalas tugas tersebut kerana usianya yang masih muda.
Pelantun lagu Kesetiaan itu bagaimanapun percaya dengan kemampuan dan bersedia melangsaikan tugas dalam program tersebut dan berkongsi ilmu bermanfaat kepada bakat baharu selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara tanah air.
Bercakap tentang pencarian bakat baharu, Siti Sarah atau nama sebenarnya, Siti Sarah Raisuddin berharap protegenya kelak bukan sahaja mempunyai kualiti vokal yang bagus, bahkan menjadi bonus seandainya protege yang terpilih nanti memiliki bakat sebagai penghibur versatil.
Dalam perkembangan terkini, kerjaya nyanyian Siti Sarah yang kembali bersinar selepas memenangi tempat kedua Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) dilihat bertambah kukuh apabila bernaung bawah syarikat rakaman Indigital Sdn. Bhd. Penyanyi bersuara lantang itu juga bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.
KOSMO!: Program belum bermula tetapi awal-awal lagi sudah ada pihak melontarkan kritikan, mempertikaikan kredibiliti Siti Sarah sebagai mentor dalam Mentor Otai, bagaimana berdepan dengan situasi tersebut?
SITI SARAH: Ya, saya tidaklah mempunyai terlalu banyak pengalaman, namun saya pernah menang beberapa trofi dalam Anugerah Industri Muzik pada awal kemunculan dahulu. Saya juga ada pengalaman bertanding dalam beberapa pertandingan nyanyian dalam dan luar negara.
Sejujurnya, saya berasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk menjadi mentor. Insya-Allah, saya akan beri yang sehabis baik untuk mencungkil bakat baharu nyanyian untuk diketengahkan ke persada muzik tempatan.
Mungkin juga ada pihak yang tidak nampak atau menyedarai pencapaian anda sebagai penyanyi?
Khalayak perlu faham konsep pertandingan. Yang otai adalah para pesertanya. Mungkin orang salah faham dengan konsep tersebut. Usia saya mungkin baru awal 30-an, namun pengalaman saya sebagai penyanyi melayakkan saya untuk membantu bakal protege nanti.
Bakat yang bagaimana anda cari untuk mengisi slot protege nanti?
Sebenarnya, saya ingin mempertajamkan bakat sedia ada kerana yakin, peserta yang akan saya jumpa nanti sudah ada ‘isinya’. Justeru, saya hanya perlu mempertajamkan apa yang perlu dari segi teknik nyanyian dan imej.
Adakah protege yang dicari harus bervokal lantang seperti anda atau bagaimana?
Sebagai mentor, saya amat tertarik dengan peserta yang mempunyai indentiti nyanyian lagu Melayu yang kuat. Memandangkan program ini menetapkan pesertanya berusia antara 35 hingga 55 tahun, saya tidak perlu terlalu mencari peserta vocal powerhouse (bersuara lantang) tetapi berharap menemui protege yang boleh menyanyi dalam pelbagai genre supaya senang untuk dilatih sebagai penyanyi versatil.
Anda pernah bertanding atas tiket peserta, namun sebagai mentor, bakat dan kualiti orang lain yang dipertaruhkan, apa yang berbeza?
Tanggungjawab sebagai mentor amat besar. Saya akan umpamakan bakal protege nanti seperti anak kerana saya perlu menurunkan ilmu agar dia menjadi bintang yang menyinar dalam industri.
Perasaannya amat lain. Kalau semasa bertanding dahulu, gemuruhnya kita sendiri yang rasa, namun sekarang apabila melihat anak buah atau protege di pentas, pasti wujud rasa bangga jika dia melakukan persembahan cemerlang dan mencuba yang terbaik.
Kalau berdepan dengan peserta yang lebih berusia, saya perlu guna pendekatan berlainan kerana orang Melayu ada adabnya dan saya perlu menghormati orang yang lebih berusia daripada saya.
Baiklah, selepas GV3 bagaimana dengan karier nyanyian anda setakat ini?
Alhamdulillah, selepas tamat GV3, rezeki saya semakin mencurah-curah. Sekarang bernaung bawah label Indigital dan pada masa sama saya perlu bijak menguruskan hidup sebagai isteri, ibu dan penyanyi.
Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan muncul dengan single terbaharu yang masih belum boleh didedahkan judulnya. Ia sebuah lagu balada dan tidak sabar rasanya untuk berkongsi dengan peminat.