Farah Idayu cari tapak baharu


Memburu impian dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi dengan menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim tiga (AF3) pada 2005 telah membuka peluang buat pemilik nama Farah Idayu Yaakob memperkenalkan diri ke dunia hiburan tanah air.

Mempertaruhkan bakat yang ada, perjuangan wanita berusia 32 tahun itu bagaimanapun terhenti apabila nasib tidak berpihak pada dirinya, sekali gus tersingkir pada minggu keempat.

Meskipun gagal meneruskan impian apatah lagi menyandang gelaran juara, Idayu tidak berputus asa atau menyalahkan takdir. Dia sebaliknya terus bersemangat dan berusaha merebut tempat dalam lapangan seni suara tempatan.

Semangatnya terbukti dengan kesungguhan Idayu menyertai pertandingan Akademi Fantasia Megastar 2017 (AF Megastar 2017) pada tahun lalu. Dipuji sekian banyak peminat, usahanya cemerlang apabila menduduki takhta juara.

Percikan populariti yang diterima menerusi program tersebut secara tidak langsung membuatkan Idayu terfikir tentang kepentingan arus perkembangan semasa.

Kewujudan media sosial yang bukan sahaja berguna untuk mengeratkan hubungan tetapi sebagai selebriti, medium tersebut merupakan platform mempromosikan diri.



Media sosial juga secara tidak langsung mewujudkan ideologi bahawa ‘suhu’ populariti seseorang selebriti dalam industri ditentukan mengikut jumlah pengikut.

Sedar kepentingan teknologi tersebut, Idayu nyata terpaksa merobohkan ‘tembok’ privasi demi memastikan dia bergerak atas laluan yang sama dengan artis lain.

“Dahulu, saya berpendapat sekiranya ingin mengekalkan hubungan dengan keluarga dan kenalan terdekat, lebih baik berhubung sendiri dan bertanya khabar berbanding menggunakan media sosial.

“Tambahan, saya bukan jenis individu yang gemar berkongsi perkembangan media sosial dan terus terang tidak pernah mempunyai akaun Instagram sebelum menyertai program AF Megastar 2017.

Berusaha mengubah persepsi berkenaan ke arah positif, Idayu menggunakan media sosial bukan sekadar untuk mengeratkan hubungan dengan peminat, bahkan sebagai jalan mempromosikan diri.

“Disebabkan masih baharu, saya tidak mengetahui jenis kandungan apa yang digemari peminat mengenai seseorang selebriti. Apa perlu saya memuat naik gambar swafoto sendiri atau mempromosikan tentang aktiviti seni sahaja,” soal Idayu yang masih belajar menyesuaikan diri menggunakan media sosial.




Usaha

Selain membentuk persepsi baharu terhadap corak dunia hiburan masa kini, menjuarai AF Megastar 2017 juga secara tidak langsung membuatkan rutin hariannya berubah, berbanding kebiasaan masa diperuntukkan untuk menguruskan perniagaan miliknya, urusan jual beli kereta yang beroperasi di Jalan Ampang.

Kini, masanya banyak terisi untuk memenuhi undangan nyanyian tidak mengira lokasi, di sekitar ibu kota mahupun terpaksa ke luar daerah.

“Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya. Ini pastinya peluang kedua untuk saya kembali ‘bernafas’ dalam industri dan ia merupakan suatu perkara luar biasa dan luar jangkaan yang berlaku kepada saya.

“Saya mengakui mempunyai keinginan untuk diterima peminat tetapi tidak menduga akan diberi peluang seperti yang diterima sekarang iaitu gelaran juara AF Megastar 2017,” tuturnya sambil melontarkan senyuman.

Pada masa sama, Idayu mengharapkan agar peluang kedua yang didakap kini memberikan ruang untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri dan bersaing dengan penghibur sedia ada.

Mempunyai personaliti yang mudah mesra, Idayu tidak mahu kemenangan tersebut dipersia-siakan.

Membuktikan kesungguhan, Idayu kini tampil dengan buah tangan baharu berjudul Selamanya hasil ciptaan teman baiknya sendiri, Amylea Azizan.

Reaksi positif peminat terhadap lagu tersebut telah menyemarakkan semangatnya untuk meneruskan langkah dalam industri, sekali gus tampil dengan single kedua, Di Sini yang diangkat sebagai runut bunyi bagi drama rantaian bertajuk, Nonalisa.

Kehadiran dua single tersebut lantas menjadi permulaan buat Idayu merangka perancangan mengumpul material yang sesuai dengan cita rasa pendengar masa kini, sekali gus dijadualkan melahirkan album penuh pada tahun ini.

“Memiliki album penuh merupakan perancangan utama pada tahun ini dan tidak dinafikan saya sendiri berasa teruja sepanjang proses rakaman. Saya mengharapkan impian itu akan terlaksana pada tahun ini,” terang Idayu bersemangat.

Tulang belakang
Mengulas mengenai kerjasama antara dirinya dengan Amylea, Idayu mengakui teman baiknya itu merupakan tulang belakang, sekali gus bertindak sebagai ‘bahan bakar’ dalam menggerakkan usahanya dalam industri hiburan tanah air.

Kedua-duanya menyertai pertandingan realiti nyanyian AF3, tidak menduga awalnya mereka saling bersaing antara satu sama lain untuk merebut peterana juara, namun kini bertukar menjadi sahabat akrab.

Idayu turut tidak menafikan teman baiknya itu merupakan antara individu yang telah memberi dorongan kepadanya terus mencari peluang dan mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

Dalam nada perlahan, Idayu menghela nafas buat seketika sebelum menyatakan dia berasa bertuah memiliki seorang sahabat seperti Amylea.

“Mengenali dia (Amylea) secara peribadi sejak kami mula menyertai AF3 dahulu, dia sering memberi semangat dan dorongan agar saya tidak mudah kecewa sekiranya berdepan kegagalan.

“Disebabkan itu, kami mudah selesa untuk bekerjasama kerana masing-masing memahami kehendak antara satu sama lain. Saya terhutang budi kepada Amylea,” ujar Idayu lembut.

Dalam pada mengakui saling senang bekerjasama, Idayu bagaimanapun memberitahu, dia dan Amylea tidak akan tampil dengan single duet kerana teman baiknya itu selesa menguruskan kerjaya di belakang tabir.

Post a Comment

Previous Post Next Post