Selepas lebih empat tahun membuka perniagaan kafe SukaSucre Bistro yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur, cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob bakal membuka sebuah cawangan baharu kafe tersebut di Sri Hartamas.
Pembukaan tersebut seiring dengan misinya dalam memajukan perniagaan yang telah diusahakannya selama lebih empat tahun itu.
“Sejujurnya perancangan untuk membuka cawangan di sana adalah kerana faktor lokasi yang dekat dengan rumah.
Lagipun, ia duduk di tengah-tengah kota untuk pengunjung datang berbanding lokasi sekarang di Cheras, Kuala Lumpur yang agak jauh untuk mereka dari Shah Alam, Selangor contohnya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi permainan video atas talian Chef Fazley’s Kitchen dan wajah baharu SukaSucre Bistro di Suka Sucre Bistro, Cheras, Kuala Lumpur.
Selain itu Fazley berkata, dia turut mewujudkan restoran virtual atau atas talian yang membolehkan pelanggan memesan makanan secara atas talian tanpa perlu datang ke restoran. Menu yang ditawarkan berlainan daripada apa yang ada di restoran fizikal.
Mengulas tentang penjenamaan semula kafe miliknya, ia dilakukan demi memastikan keselesaan dan kepuasan pelanggan termasuk dari aspek hiasan kedai dan menu. Ia termasuk dengan penambahan hidangan serta kewujudan SukaSucre Bakery yang menawarkan pelbagai jenis pencuci mulut.
Bercakap mengenai aplikasi pelancaran permainan video pula, Fazley berkata, idea tersebut datang selepas menyedari tiada satu pun jenis permainan memasak menampilkan cef di negara ini atau di Asia.
“Saya cemburu melihat cef selebriti antarabangsa ada aplikasi permainan sendiri. Dari situ ia menyuntik semangat saya untuk melakukan perkara sama, sekali gus membawa nama negara ke persada dunia.
“Hal ini kerana, permainan ini menonjolkan sisi negara kita dengan menyediakan resipi yang ada di restoran SukaSucre seperti pasta daging salai masak lemak cili api,” terangnya.
Dapur Kepoh
Majlis pelancaran turut diserikan dengan segmen Dapur Kecoh bersama media untuk petugas media yang hadir. Pertandingan yang berlangsung selama sejam itu memerlukan peserta menyediakan dua hidangan iaitu satu hidangan berat dan satu hidangan pencuci mulut.
Pada kesempatan itu juga, Fazley turut memperkenalkan menu baharu iaitu Sweet Table yang menawarkan pelbagai jenis pencuci mulut seperti kek, pisang goreng dan aiskrim dihidangkan di atas meja.
Bagaimanapun, menu tersebut mendapat kecaman daripada peminat selepas sebuah video yang dimuat naik Fazley di Instagramnya baru-baru ini menunjukkan cara menghidangkan menu itu tidak sopan kerana mencampak makanan di atas meja.
Bagi Fazley, sebagai seorang cef yang cintakan makanan dan dunia masakan, dia faham benar tentang sensitiviti membabitkan makanan.
Namun jelasnya, apa yang berlaku tempoh hari hanya berlaku dalam kalangan ahli keluarganya sahaja kerana mereka sedang menyambut hari lahir adik lelakinya, Raf Yaakob.
“Meja yang kami gunakan besar dan tangan tidak sampai untuk meletakkan makanan pada bahagian hujung. Jadi ia nampak seperti saya mencampak, walhal bukan.
“Jangan risau. Ibu saya sendiri selalu berpesan supaya bersopan ketika menyediakan makanan. Cuma apa yang saya tonjolkan adalah kemesraan apabila kita duduk semeja dengan keluarga atau rakan, hubungan menjadi lebih akrab,” jelasnya.