Shaheizy Sam hero filem biopik The Pocket Rocketman?


Jika Mac ini, peminat sukan tanah air bakal disajikan dengan filem biopik jaguh sukan badminton, Datuk Lee Chong Wei, pada tahun 2019 pula sebuah lagi filem tentang jaguh sukan negara akan difilemkan.

Kali ini penonton akan dapat mengikuti perjalanan dan perjuangan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang atau lebih dikenali dengan panggilan The Pocket Rocketman.

Menurut Azizul, filem yang bakal diarahkan oleh pengarah terkenal, Raja Mukhriz ini akan merakamkan kisah suka duka kehidupannya dari kecil sehinggalah berjaya meraih gelaran jaguh dunia.

“Memang banyak kisah suka duka yang akan disampaikan di mana cerita sebegini kalau diceritakan semula memang boleh buat saya sebak. Apapun, mesej utama filem ini adalah untuk berkongsi pahit getir yang saya lalui sehingga menjadi juara dunia pada waktu ini.

“Bukan itu sahaja, filem ini juga akan menerapkan tema perpaduan, semangat kesukanan dan ketabahan di mana saya mengharapkan ia dapat memberi inspirasi buat anak muda,” kata Azizul kepada media ketika ditemui di majlis sidang media filem ini pada Rabu.



Azizul dalam masa yang sama turut menyuarakan hasratnya agar watak dirinya itu dibawakan oleh pelakon Shaheizy Sam yang dianggap paling sesuai dengan filem biopik tersebut.

Sam yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Polis Evo2, turut memberikan reaksi positif dengan hasrat pelumba terkenal itu.

“Saya memang teringin untuk melakonkan watak untuk filem bercorak biografi dan setakat ini saya belum pernah lakukannya.



“Jika diberi peluang, saya akan cuba menjiwai watak dan mahu mengenali secara rapat Azizul terlebih dahulu agar berjaya melakonkan watak dengan baik,” katanya kepada sebuah portal.

Filem yang dijangka melibatkan kos pembikinan berjumlah RM6 juta ini merupakan kerjasama ThreeSixty Management yang merupakan syarikat pengurusan Azizul, UniTalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post