Semangat Ara Johari tidak pernah patah


Selepas Warkah Untukku, Ara menaruh harapan agar single keduanya, Bunga akan menjadi platform untuknya terus mara ke AJL33 pula pada masa akan datang.

Sekiranya segala nasihat doktor dituruti 100 peratus, usahkan suara, bahkan kelibat pelantun lagu Warkah Untukku, Ara Johari tidak akan muncul menjayakan persembahan pada malam dambaan seluruh anak muzik, Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32, Ahad lalu.

Kata Ara, doktor menasihati dirinya agar berehat sehingga tahap masalah suaranya kembali pulih seperti biasa dan tempoh tersebut dianggarkan mengambil masa sekitar sebulan.

Namun, disebabkan enggan mengecewakan dan menghampakan sokongan peminat, Ara sanggup mengambil risiko, lantas melunaskan tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu ciptaan Hang Nadim dan Laq semampu mungkin.

Usai tugas dilaksanakan sepenuh jiwa, pemilik nama lengkap Nurfarrah Izzatie Johari itu bagaimanapun tidak menyalahkan takdir apatah lagi berasa kecewa dengan masalah kesihatan yang dihidapi.

Dia telah melakukan yang terbaik namun rezeki nyata tidak menyebelahinya pada acara yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur tersebut.

Tidak mati semangat, Ara turut menaruh harapan terhadap single kedua bertajuk Bunga untuk membuka peluang buatnya kembali ke pentas AJL33 kelak.



KOSMO!: Ara Johari dikhabarkan mengalami masalah kesihatan sebelum membuat persembahan pada AJL32. Bolehkah anda jelaskan mengenai perkara itu?

ARA JOHARI: Saya mengalami masalah kesihatan iaitu kehilangan suara empat hari sebelum acara tersebut berlangsung,. Lebih merumitkan, sewaktu sesi latihan dilakukan pada waktu siang sebelum acara bermula, suara saya hampir hilang. Namun, syukur sebaik sahaja menghampiri giliran untuk membuat persembahan, suara saya kembali seperti biasa namun tidak pulih sepenuhnya.

Adakah anda mempunyai sebarang teknik kawalan suara sepanjang persembahan berlangsung?

Saya hanya melakukan yang terbaik. Paling penting, saya berusaha memastikan persembahan tetap dapat diteruskan. Meskipun saya berasa sakit dan perit di bahagian tekak tetapi ia tidak mengganggu tumpuan persembahan.

Apakah yang membuatkan ada sanggup mengambil risiko untuk membuat persembahan meskipun mengetahui tidak akan mampu melakukannya dengan baik?

Saya melihat peluang membuat persembahan di pentas AJL sebagai bukan suatu perkara mudah dan ia pastinya diimpikan oleh setiap penyanyi tanah air.



Justeru, saya enggan melakukan kerja separuh jalan dan berusaha melakukan yang terbaik. Malah, sokongan peminat dan keluarga menjadikan saya semakin bersemangat untuk melakukan persembahan sehabis baik pada malam itu.

Adakah anda ada mendapatkan rawatan perubatan bagi memastikan tahap kesihatan kembali pulih seperti biasa?

Awalnya saya tidak membuat pemeriksaan doktor kerana beranggapan ia sekadar sakit tekak biasa seperti yang selalu dialami sebelum ini. Kebiasaannya, saya hanya minum air suam dan tidur.

Namun, sakit tekak itu berlanjutan sehingga hari ketiga dan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan doktor. Doktor mengatakan, kawasan sekitar peti suara saya membengkak dan perlu mendapatkan suntikan antibiotik.

Ia mengambil masa sekitar beberapa minggu untuk pulih seperti biasa. Sejujurnya, doktor menasihatkan agar saya tidak membuat persembahan pada malam AJL tetapi disebabkan enggan mengecewakan khalayak, saya gagahkan diri untuk melakukannya.

Adakah anda berasa kecewa disebabkan masalah kesihatan menjadi penghalang untuk membawa pulang sebarang trofi pada malam tersebut?

Sejujurnya, saya tidak melihat masalah itu sebagai pematah semangat apatah lagi mengecewakan. Pada saya, peluang untuk bersaing pada acara tersebut sudah cukup dan memadai.

Tambahan, sebagai penyanyi baharu yang baru setahun jagung bertapak dalam industri, saya pastinya berasa bangga dengan pencapaian ini. Adat pertandingan pasti ada menang dan kalah.

Saya mengambilnya sebagai pembakar semangat untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang. Insya-Allah sekiranya diberi peluang, saya akan cuba memastikan lagu Bunga berjaya ke pentas akhir AJL akan datang.

Paling utama, saya mengambilnya sebagai suatu pengalaman dan pengajaran tentang pentingnya penjagaan suara terutama sewaktu ingin membuat persembahan pada acara berprestij seperti AJL.

Melihatkan persembahan pada malam tersebut, bolehkah anda kongsikan tentang konsep lagu Warkah Untukku di pentas AJL32?

Lagu itu menggambarkan saya sebagai seorang wanita yang ditinggalkan kekasih dan berasa kecewa. Tirai putih tersebut dijadikan sebagai terowong masa untuk saya mengimbau semula kenangan bersama dan menggambarkan kekecewaan apabila hubungan kami putus.

Post a Comment

Previous Post Next Post