Saleem diminta banyakkan berehat
Akibat sakit kepala yang teruk, penyanyi Saleem Iklim, 56, telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Rabu lalu.
Menurut penyanyi Suci Dalam Debu ini, beliau mengalami sakit kepala yang kronik berikutan kurang rehat apabila sibuk memenuhi undangan persembahan dan kerap berulang alik ke Sabah sempena siri jelajah di beberapa kawasan pendalaman di sana.
Pada mulanya Saleem beranggapan sakit kepala yang dialami itu hanya biasa-biasa sahaja dan akan pulih apabila beroleh rehat yang cukup. Namun sebaliknya berlaku apabila doktor mengesahkan ada darah beku di kepalanya.
“Saya akui terlalu sibuk dengan undangan persembahan dan kerap berulang alik ke Sabah, sejak akhir-akhir ini. Malah saya baru saja pulang ke ibu kota selepas hampir dua minggu mengikuti siri jelajah ke kawasan pedalaman di sana.
“Seumur hidup tak pernah mengalami kesakitan sebegini, di mana kepala saya rasa macam hendak pecah.
“Isteri saya, Julia berasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila saya hampir kemalangan ketika memandu kereta. Apatah lagi bila melihat keadaan saya seperti lemah dan tidak bermaya ketika itu,” katanya kepada sebuah akhbar utama.
Tindakan pantas isteri yang membawanya untuk mendapatkan rawatan di hospital ternyata telah menyelamatkan diri Saleem.
“Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mendapati ada ketulan darah beku di kepala saya kerana kekurangan oksigen.
“Pada mulanya saya terkejut apabila doktor maklumkan tentang keadaan saya. Takut jika ada ketumbuhan, kanser atau penyakit kronik yang lain.
“Apa pun, alhamdulillah saya kini berasa lebih sihat dan tidak lagi sakit selepas diberikan oksigen serta ubat,” katanya yang mengikuti nasihat doktor agar berehat di hospital supaya badannya mendapat oksigen mencukupi.
Penyanyi asal Terengganu itu kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan selama beberapa hari.