Roh lakonan Remy Ishak, Hisyam Hamid ketepi sentimen


Dalam dunia sukan, misalnya bola sepak, segala-galanya memiliki kaitan antara satu sama lain. Efektifnya pihak pengurusan, congakan jurulatih menentukan posisi pemain serta formasi bagi memerangkap pihak lawan menjadi formula jatuh bangunnya sesebuah pasukan. Itu belum dikira prestasi cemerlang yang dipamerkan setiap pemain di atas padang bagi memburu tiga mata berharga.

Industri seni juga begitu. Produser dan pihak produksi boleh diibaratkan sebagai pihak pengurusan, pengarah seumpama jurulatih berkaliber sementara anak-anak wayang pula sememangnya bagaikan barisan pemain yang cukup bernilai. Ini rumah mereka. Jatuh bangunnya industri, segala-galanya terletak kepada mereka sendiri yang berada di dalam gelanggang.

Bukan apa, mahu menjentik hati pasukan kesayangan sememangnya tanggungjawab penyokong yakni penonton yang cukup sarat dengan sentimen di luar padang. Sayugia disogok dengan ramuan yang lebih kurang sama, itu bukan lagi eksperimen namanya.

Sebaliknya, peminat fanatik kini mula menguap bosan kerana sudah tahu apa yang bakal dipersembahkan pasukan kesayangan tidak kira di layar perak mahupun di layar kaca.

Jika sedikit masa lalu lambakan novel dijadikan trend untuk diadaptasikan ke filem mahupun drama, kini wajah-wajah instafamous pula seakan-akan memegang kuasa baharu sebaik jelas memonopoli jendela perpindahan pemain semasa.

Ramai pengikut belum tentu menjamin bakat, ini sesuatu yang sering kali terlepas pandang oleh mana-mana produksi. Natijahnya, pemain-pemain senior seperti Remy Ishak dan Hisyam Hamid terkena tempias kecaman penonton apabila jurang hambar corak permainan yang diterjemahkan tidak menepati piawaian didambakan.

Tidak hairanlah, ada pelakon yang layak dianggap kapten arakian dilihat kurang memberikan roh setiap kali berkarya apatah lagi mahu memberikan yang terbaik semata-mata supaya pelakon baharu tidak kelihatan canggung di depan kamera.

Ini bukan sekadar sembang kosong sambil menikmati pisang sejoli dan minuman apung di lamin kopi. Seandainya situasi ini tidak diberikan perhatian sewajarnya, tidak mustahil ia bakal meletuskan barah, sekali gus menyaksikan industri seni kita semakin lesu dan tidak bermaya.



Populariti tidak menjamin rating

Tidak pernah mendabik dada dengan hierarki statusnya sebagai sang aktor yang semakin dikenali, Hisyam, 33, percaya setiap yang berlaku bersebab. Justeru sebagai pelakon, dia perlu sentiasa bersedia termasuk jika rakan sepasukannya tidak betah pengalaman beraksi di depan kamera.

Bukan tidak pernah menyuarakan pandangan berhubung perkara itu, namun aktor ini percaya tahap keserasian sesama pelakon dalam sesebuah repertoir terlalu subjektif untuk diterjemah dengan kata-kata.

“Saya pernah memberitahu pihak produksi berhubung perkara ini bahawa populariti belum tentu menjamin rating yang tinggi.

“Jika ramai pengikut di laman Instagram sekali pun, sambutan hangat sesebuah drama merangkumi pelbagai aspek menyeluruh dan ia memang jelas terbukti selama ini,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang.

Getus Hisyam, dia sendiri masih menganggap dirinya perlu menerima tunjuk ajar kendatipun menyedari segala-galanya kini lebih mudah buat pelakon baharu mencipta jenama sebagai anak seni.



“Tidak adil untuk saya bercakap mengenai orang lain cuma bagi saya, setiap tanggungjawab yang diberikan untuk menjayakan mana-mana watak perlu digalas sebaik mungkin,” ceritanya lagi.

Hisyam memberitahu, perjalanan seninya masih jauh untuk dilakar, apatah lagi mahu usahanya diiktiraf termasuk memburu gelaran Datuk seperti mana rakan seangkatannya dari Singapura seperti Datuk Adi Putra dan Datuk Aaron Aziz.

“Insya-Allah, niat baik akan diberkati. Selagi belum puas bergelar pelakon, selagi itu saya tidak akan mengucapkan selamat tinggal,” ungkapnya yang mahu mengehadkan penampilan di layar kaca, selain lebih fokus terhadap layar perak sepanjang tahun ini.

Lebih gemar menyendiri

Tatkala menyelami hati Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 36, pula berhubung senario itu, redup wajah pemuda itu sebelum menyusun kata-kata.

Biar diamuk rasa lelah digandingkan bersama pelakon baharu, Remy percaya ia merupakan antara cabaran yang perlu diharungi dirinya sebagai anak seni.

“Majoriti pelakon baharu bukan berasal daripada bidang ini, jadi sudah tentu mereka memerlukan sedikit masa untuk memperbaiki mutu lakonan masing-masing.

“Penat memang penat tapi hendak buat macam mana. Itu antara cabaran yang perlu saya terima,” ungkapnya.

Pada masa sama, Remy cukup memahami perkara itu lantaran dia juga pernah bergelar pelakon baharu.

“Saya faham jika ada rasa gementar ataupun sebagainya, saya sendiri mengalami perkara itu ketika bergandingan dengan pelakon senior masa mula-mula dahulu.

“Cuma, saya beruntung kerana dapat belajar daripada mereka, sekali gus memperbaiki mutu lakonan demi kepuasan sendiri,” jelasnya.

Remy yang bakal bergandingan bersama Hisyam dalam telefilem Do[s]a yang bakal bersiaran di Astro Best (saluran 480) bermula Rabu ini, majoriti pelakon baharu juga lebih gemar membuat hal sendiri di set penggambaran tanpa berusaha untuk mempelajari teknik lakonan dengan pelakon lebih senior.

“Mungkin mereka gementar, jadi saya faham. Jika mereka sendiri tidak bertanya, lebih baik saya sekadar mendiamkan diri.

“Saya percaya mereka perlu diberikan lebih banyak peluang seperti mana saya ketika masih baharu. Selepas ini, terpulang bagaimana mereka mahu memajukan diri jika benar-benar berhasrat menjadi seorang pelakon,” getusnya.

Cuma, itu bukan alasan buat Remy mengatakan tidak jika kembali dilamar untuk bergandingan bersama pelakon baharu pada masa depan.

“Soal keterbukaan itu perlu, masing-masing memiliki skil lakonan tersendiri tidak kira pelakon baharu ataupun tidak.

“Cuma segala-galanya bergantung kepada skrip. Jika ia sekadar naskhah ringan, apa salahnya. Namun, jika cerita yang lebih berat, ada baiknya saya mengetahui siapa gandingan dalam drama atau filem terlebih dahulu.

“Bukan apa, kita bekerja secara berpasukan. Sudah tentu saya kecewa jika rakan segandingan tidak mampu mempersembahkan kualiti lakonan seperti yang diharapkan,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post