Profesional cara Shaheizy Sam


TUGAS sebagai seorang pelakon bukan sekadar mempamerkan rupa fizikal yang menarik buat tatapan penonton. Sebaliknya, skop kerja seorang pelaku seni cukup luas dan dalam masa sama menuntut ruang kefahaman serta sikap toleransi yang cukup besar.

Dua perkara itu yang selalu diamalkan oleh Shaheizy Sam dalam meneruskan kelestarian kerjayanya sebagai seorang pelakon. Tidak hanya bercakap persis tin kosong, Sam membuktikannya menerusi komitmen yang diletakkan dalam filem Polis Evo sekitar tiga tahun lalu.

Memegang watak sebagai Inspektor Khai, penampilan Sam dalam naskhah berbentuk aksi tersebut mendapat perhatian ramai, terutama apabila penonton mula menyedari perubahan drastik pada fizikalnya yang kelihatan lebih tegap.

Sekitar tahun lalu, Sam sekali lagi mencuit perhatian umum apabila tampil dengan imej kurus, semata-mata mahu menjayakan watak penghidap kanser kronik bernama Naufal.

Ketika itu, beratnya susut dengan mendadak. Jika sebelum ini dia memiliki dengan berat 65 kilogram (kg) dengan badan kekar, berat Sam turun sehingga 56 kg hanya mengamalkan diet sup sayur dan latihan kardio setiap hari.

Watak

Tidak lama selepas fasa kurus kering tersebut, Sam kembali kepada keadaan fizikalnya seperti sebelum ini apabila sekuel bagi filem Polis Evo, iaitu Polis Evo 2 memulakan penggambaran beberapa bulan yang lalu.

Menurut Sam, setiap pelakon perlu konsisten dengan watak yang diberikan. Dalam erti kata yang lebih mudah, pengucapan dialog, aksi dan rupa paras perlu selari dengan skrip yang telah ditetapkan.

“Saya seorang pelakon yang percaya bahawa keadaan fizikal seseorang mampu memberi perubahan drastik terhadap penerimaan khalayak melalui wataknya.

“Sebagai contoh, saya melakonkan watak seorang lelaki yang sedang sakit. Penonton tahu karakter saya sedang sakit menerusi pengucapan dialog. Namun, jika tubuh badan saya kelihatan sihat dan tidak selari dengan penyakit tersebut, kepercayaan penonton serta merta akan hilang,” katanya yang masih dalam tempoh berehat sebelum memasuki kembali ke set penggambaran yang dijadualkan pada Februari.

Bagaimanapun, pelakon yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Interchange pada Festival Filem ke-29 itu menjelaskan, budaya mengubah imej atau bentuk fizikal demi menjayakan sesebuah watak kurang diamalkan oleh penerbit tempatan.



Inspirasi

Menurut Sam, mungkin kurang kesedaran untuk berubah disebabkan tanggapan awal mereka yang melabelkan banyak pelakon Malaysia tidak sanggup untuk melalui proses perubahan fizikal sebelum sesebuah penggambaran bermula.

“Barangkali mereka hanya menebak secara rawak, walhal banyak pelakon sanggup untuk berubah demi watak.

“Selain itu, proses pra-produksi yang singkat juga menyebabkan seseorang pelakon susah untuk menyediakan diri dan berubah mengikut kehendak produksi.

“Apa sahaja boleh dibuat jika senggang masa penerimaan skrip hanya sekitar beberapa minggu sebelum proses penggambaran bermula,” katanya.

Bercakap mengenai perubahan fizikal, Sam berharap agar apa yang diusahakan dalam membina karakter bagi sesebuah filem menjadi penanda aras buat pelakon-pelakon lain.

“Seperti kita tahu, lakonan merupakan perkara yang sangat subjektif. Jika kita beri sehabis baik, akan ada orang yang mengkritik dan mengatakan kerja kita biasa-biasa sahaja.

“Saya berharap agar apa yang cuba dilakukan sekarang memberi inspirasi dan motivasi terhadap pelakon lain. Saya mahu terapkan bahawa untuk menjiwai watak, kata-kata sahaja tidak mencukupi tetapi perlu disertai dengan fizikal,” ujarnya.

Diusik adakah Sam sanggup untuk menggemukkan tubuhnya untuk filem, lelaki itu berkata: “Saya sanggup. Hal ini disebabkan, saya pernah rasa hampir semua bentuk tubuh sebelum ini dan tahu untuk berubah kepada bentuk-bentuk tertentu menerusi pemakanan serta cara bersenam.

“Cuma,saya sedikit khuatir kerana ia melibatkan kesihatan. Bagaimanapun, saya tidak melakukan perubahan secara ekstrem sehingga memberi risiko pada tubuh badan sendiri,” ujarnya yang menyifatkan perubahan-perubahan tersebut sebagai salah satu tugas yang perlu dilaksanakan jika mahu bergelar sebagai seorang pelakon.



Potensi

Beralih kepada penglibatan keduanya dalam sekuel Polis Evo, Sam berkata, banyak perkara baharu yang diterapkan dalam produksi kali ini berbanding filem terdahulu.

“Pada penggambaran kali ini, pengagihan masa untuk kerja lebih teliti dan proses penggambaran pula tidak melebihi tempoh yang sepatutnya. Paling lama kami bekerja sekitar 10 hingga 12 jam sehari.

“Jika tempoh bekerja sedikit, kami dapat menggunakan masa yang selebihnya untuk berehat. Apabila tubuh dapat berehat, otak akan segar dan ia akan membantu untuk pelakon-pelakon memberikan sebaik mungkin pada keesokan harinya,” ujar Sam.

Sementara itu, Sam turut memuji tenaga produksi yang hadir dengan idea-idea kreatif, selain cerewet dalam hal berkaitan props dan pelakon tambahan.

“Untuk sekuel Polis Evo, kami bekerja dengan produksi baharu dan ia diketuai oleh sutradara muda bernama Joel Soh.

“Produksi kali ini juga tidak mahu terlalu santai dalam membikin filem. Justeru, sebuah perkampungan baharu diwujudkan semata-mata mahu merealisasikan latar tempat yang digambarkan oleh penulis skrip.

“Dalam pada itu, sekitar 300 pelakon tambahan diuji bakat secara terperinci agar hasil akhirnya nanti memberi kepuasan yang setimpal,” katanya yang cukup kagum dengan ketelitian pihak produksi dalam menjalankan tanggungjawab.

Biarpun baru memasuki filem kedua, Sam tidak menolak jika watak Inspektor Khai dikembangkan pada masa akan datang.

“Potensi filem ini sangat besar dan apa yang boleh saya katakan, Polis Evo 2 bakal menjadi antara filem terbaik di Asia.

“Jika jenama Polis Evo itu sendiri mahu difrancaiskan dan pihak produksi ingin watak Inspekstor Khai dihidupkan dalam setiap siri filem, saya tidak keberatan untuk meneruskan apa yang telah dimulakan,” tuturnya jujur.

Dalam perkembangan lain, Sam kini menunggu masa untuk beralih peranan ke belakang tabir untuk menghasilkan filem.

Produksi

Masih belum bersedia untuk memperincikan projek sulungnya itu, Sam bagaimanapun berkata, ia merupakan kolaborasi dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan.

“Projek ini telah lama dirancang. Namun, ia terpaksa ditangguhkan kerana jadual lakonan saya yang sangat padat.

“Insya-Allah, jika penggambaran Polis Evo 2 tamat kelak, saya akan kembali menyambung projek ini,” katanya.

Menurut Sam, percubaannya untuk melompat bidang tidak mengganggu karier utama sebagai pelakon.

“Saya masih lagi berlakon, cuma tidak aktif seperti dahulu. Buat masa sekarang, cukuplah dengan satu atau dua filem setahun dan selebihnya saya mahu fokus pada projek baharu.

“Masa yang ada akan saya guna untuk produksi, menyediakan diri untuk watak-watak bagi filem akan datang.Dalam masa sama, ia memberi saya peluang yang banyak untuk berada dekat dengan keluarga,” kata bapa kepada Syeriv Samheizy yang kini berusia lapan bulan itu menutup perbualan.

Dikenali sebagai aktor yang kerap mengubah bentuk tubuh demi merealisasikan sesebuah watak, Shaheizy Sam memandang komitmen tersebut sebagai skop tugas seseorang pelakon jika mahukan penonton meletakkan kepercayaan terhadap karakter yang dijayakan di layar lebar.

Post a Comment

Previous Post Next Post