Nadiyah Shahab takut penonton agresif


Kelibat wajah wanita cantik berkulit putih mulus ini pernah mencuri tumpuan ketika mengendalikan program berbentuk travelog di saluran Go Asean, Lost At Sea. Ketika itu gelagat dan kepetahannya berbicara dalam bahasa Inggeris membuatkan ada yang menyangkakan si empunya diri yang memperkenalkan diri sebagai Nadiyah Shahab ini merupakan minah saleh.

Bagaimanapun, telahan itu ternyata silap. Pemilik nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab ini merupakan wanita yang mempunyai darah campuran keturunan Arab dan Jawa. Bermula dengan bidang pengacaraan, kini sedikit demi sedikit Nadiyah mula menonjolkan diri dalam dunia lakonan pula.

Tidak pernah meletakkan penetapan dalam mana-mana cabang seni yang cuba diterokainya, kini anak kelahiran Kota Singa itu berjaya membuktikan bahawa dirinya juga mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan bukanlah sekadar menjual rupa.

“Bidang pengacaraan dan lakonan merupakan dua bidang yang cukup berbeza. Apabila mengacara, saya boleh menjadi diri sendiri, tetapi lakonan saya perlu menjadi orang lain mengikut watak ditetapkan.

“Memang agak sukar kerana kita menjadi orang lain di depan kamera. Bagaimanapun, saya melihat peluang yang datang ini sebagai satu rezeki untuk mencuba satu lagi cabang seni yang saya turut minati,” kata pelakon berusia 27 tahun itu kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam sesi fotografi baru-baru ini.



Terima ancaman

Jika ingin dibandingkan dengan rakan seperjuangan yang lain, Nadiyah akui dirinya masih lagi baharu dalam dunia lakonan. Bahkan katanya, banyak lagi perkara yang perlu dipelajarinya.

Sungguhpun begitu, percaturannya untuk terus melangkah jauh dalam dunia lakonan nampaknya tidak pernah silap. Mana tidaknya, kini namanya kian menjadi sebutan selepas membintangi drama Lafazkan Kalimah Cintamu selaku teraju utama yang sedang bersiaran di saluran Astro Ria.

Membawakan watak antagonis sebagai Tengku Natasha, Nadiyah akui pelbagai respons yang diterimanya menerusi wataknya dalam drama arahan Along Kamaludin itu. Di sebalik kata-kata pujian umum mengenai lakonannya yang disifatkan ‘menjadi’, pada masa sama, Nadiyah memberitahu dia juga berdepan dengan pelbagai ancaman.

“Disebabkan watak itu, saya menerima pelbagai mesej berbentuk ancaman. Ada yang ugut kata mahu menumbuk, bahkan ada juga yang kata kalau jumpa mahu memukul saya. Barangkali sebab geram dengan watak saya dalam drama tersebut.

“Ancaman dalam media sosial yang dihantar itu ada kalanya membuatkan saya berasa takut. Bukan apa, ada antara mereka yang bersifat agresif. Sedangkan saya hanyalah membawakan karakter saya sahaja. Bimbang juga jika berada di luar, tiba-tiba diserang,” luahnya yang memberitahu banyak yang dipelajarinya sepanjang berlakon dalam drama bersiri 32 episod itu.

Jelas Nadiyah lagi, situasi itu membuatkan dirinya bimbang jika terus dilabel sebagai pelakon watak antagonis. Sebolehnya, kata Nadiyah, biarlah dia dikenali dengan pelbagai watak yang versatil.

“Tak mahu lah nanti orang lihat saya asyik pegang watak jahat sahaja. Mungkin selepas ini orang akan lihat saya dengan watak yang lebih baik pula,” selorohnya yang membintangi drama Kelip-Kelip Di Kota London.



Belajar

Apa yang pasti, hasrat Nadiyah untuk terus membina nama di negara ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana, dia perlu banyak menghabiskan masanya berulang-alik antara dua negara. Bagaimanapun, Nadiyah mengakui, dia mempunyai perancangan untuk tinggal di sini selepas mendirikan rumah tangga kelak.

“Jika terikat dengan penggambaran, saya akan berada di sini, jika tidak saya akan berada bersama keluarga di Singapura,” katanya yang sudah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Ben Ali yang juga merangkap pengurus peribadinya pada bulan lepas.

Biarpun terpaksa berulang-alik, Nadiyah tidak pernah mengeluh. Baginya, itulah harga yang perlu dibayar untuk mengejar cita-citanya. Dalam mengejar impian, pelakon Mr. Hijab itu turut mementingkan pendidikan dalam hidupnya.

Baginya, apa jua yang dilakukan, pendidikan tetap menjadi keutamaan. Kata Nadiyah dengan adanya pendidikan, sekurang-kurangnya dia mempunyai sesuatu yang boleh menjadi jaminan untuk masa depannya.

Sungguhpun begitu, katanya, dia kini berdepan dengan satu lagi cabaran apabila perlu menghabiskan pengajiannya pada tahun ini.

“Lagipun, saya kini sudah tidak boleh menangguhkan lagi pengajian. Ada berbaki satu semester lagi untuk saya habiskan. Selagi belum habiskan pengajian, memang tidak akan senang duduk.

“Bukan mudah kalau kita mahu bekerja sambil belajar. Tambahan pula berlakon memerlukan saya bekerja tidak tentu masa. Jadi, itu yang saya terpaksa buat penangguhan sebelum ini. Apapun, saya akan menduduki peperiksaan akhir semester Mei depan,” katanya yang merupakan penuntut jurusan Undang-Undang di University of London, Singapura.

Kata Nadiyah lagi, dia juga mem­punyai perancangan untuk mengakhiri zaman bujangnya pa­da tahun ini. Jadi, sebolehnya, dia mahu selesaikan terlebih dahulu tanggungjawab sedia ada sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

“Kalau ikutkan perancangan, saya akan berkahwin pada November nanti. Jadi, ibu saya beritahu kalau tidak habiskan pengajian, tak boleh berkahwin,” selorohnya yang bakal muncul dalam telefilem Kekasih Misteri.

Post a Comment

Previous Post Next Post