Ayda Jebat dituduh bongkak


Kalau nak hadam kutukan netizen, sampai hujung tahun pun tidak berkesudahan. Tambahan pula jika melihat netizen bersembang mengenai keburukan artis, memang ramai yang suka bersikap nasi tambah untuk menyedapkan cerita.

Terbaharu, apabila Diva terdengar cerita mengenai aktres jelita, Ayda Jebat yang tiba-tiba menjadi perbualan hangat netizen gara-gara dikatakan berlagak tidak kena tempat termasuk tidak menjaga perasaan orang di sekelilingnya baru-baru ini, Diva sekadar tersenyum simpul dibuatnya.


Segala-galanya bermula apabila salah seorang netizen mempertikaikan tindakan Ayda yang dikatakan tidak mahu mendengar penjelasan individu berkenaan sebelum memulakan persembahan sedikit masa lalu. Siap ditengking-tengking Ayda di depan orang ramai katanya.

Apa lagi, makin ramai yang berduyun-duyun komen kononnya Ayda memang bersikap sebegitu. Secara tiba-tiba, masing-masing berdepan pengalaman ngeri semasa berdepan dengan Ayda.



Ini yang benar-benar menghairankan Diva. Setahu Diva, Ayda tidak sebegitu. Dengan rakan-rakan Diva pun tidak pernah mendengar waima sekali Ayda pernah buat hal. Dia memang peramah dan cukup berdisiplin terutamanya bab kerja.

Apa yang benar-benar menyebabkan Diva senang dengan Ayda, dia memiliki banyak idea yang cukup menarik untuk direnungkan. Itu belum dikira komitmen yang diberikan Ayda setiap kali menjayakan sesi fotografi bersama teman-teman Diva selama ini.



Diva faham, mungkin terdapat perselisihan faham dan mereka yang terlibat termasuk Ayda saja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku pada waktu itu.

Cuma, Diva tertanya-tanya apakah niat sebenar netizen berkenaan bertindak sedemikian rupa. Bagi Diva, ini sudah jadi buli di alam siber.

Macam inilah, jika benar awak terasa hati dengan Ayda yang mungkin tidak sedar mengguris perasaan, mengapa tidak sekadar DM (direct message) saja dia di laman Instagram? Mengapa perlu dicanang seantero dunia?

Bersabarlah Ayda, yang penting jadikan perkara ini sebagai iktibar. Bukan semua orang sukakan kau dik. Yang mana penting dalam hidup, simpan. Yang menyemakkan kepala otak, buang jauh-jauh ya.

Post a Comment

Previous Post Next Post