Jutaan harapan Alyah


Ada satu prinsip yang masih lagi dipegang kuat oleh Datin Alyah setiap kali merancang untuk meluncurkan lagu baharu.

Menurut wanita kelahiran Johor itu, lagu yang dipasarkan perlulah sedap didengar dan pada masa sama harus diregukan dengan sebuah penerbitan klip video menarik.

Bukan sekadar cakap kosong, ia dibuktikan sendiri menerusi beberapa single yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Lagu Kisah Hati misalnya, mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan peminat apabila aktor Remy Ishak dijadikan sebagai model dalam klip video arahan Ghaz Abu Bakar itu.

Fenomena tersebut kemudiannya berlanjutan apabila pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid dipilih untuk membintangi klip video bagi single seterusnya, Sesal Separuh Nyawa.

Mementingkan setiap perincian pada lagu-lagu nyanyiannya, Alyah menjelaskan bahawa kebergantungan sesebuah lagu terhadap klip video perlu bagi memberi gambaran secara visual mengenai karya tersebut kepada khalayak.



Rugi

“Sejak dahulu lagi, saya sangat mengambil berat mengenai lagu-lagu saya. Dari segi pemilihan material, produksi sehinggalah ke promosi, saya pastikan semuanya berjalan sempurna.

“Namun, ia sama sekali tidak menjamin peluang untuk sesebuah lagu itu diterima ramai. Apa yang boleh saya katakan, semuanya bergantung pada rezeki lagu itu sendiri,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Noor Hasliah Abu Hasan itu menjelaskan, dia mula sedar mengenai perkara tersebut apabila single Engkau Milikku yang diterbitkan pada tahun 2016 gagal untuk mengulang fenomena seperti pernah diraih oleh tiga single terdahulu.

“Banyak yang saya belajar apabila single Engkau Milikku tidak berjaya menarik perhatian pendengar. Antaranya, kita tidak boleh menjangkakan kejayaan sesebuah lagu sebelum ia dilancarkan.

“Selain itu, saya juga menjadi lebih berhati-hati untuk mengeluarkan belanja setiap kali merakamkan klip video bagi single baharu,” katanya lagi.

Untuk rekod, secara keseluruhannya Alyah telah membelanjakan sekitar RM300,000 untuk lagu Engkau Milikku. Ia termasuk kos rakaman lagu, pembikinan klip video di Ladakh, India dan sesi fotografi di sebuah studio di Bangkok, Thailand untuk kulit hadapan single tersebut.

Kos berkenaan jauh lebih mahal berbanding Kisah Hati yang pada waktu itu hanya menelan belanja sebanyak RM30,000 manakala Sesal Separuh Nyawa pula sekitar RM36,000.

Tidak menyesal apatah lagi akur dengan kegagalan, Alyah menganggap fasa tersebut sebagai tempoh terbaik baginya untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.

“Saya tidak pernah patah semangat apabila gagal kerana saya dulu pun pernah beberapa kali melalui situasi yang sama. Cuma jumlah yang dikeluarkan agak banyak untuk sebuah lagu.

“Justeru, saya akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan dengan lagu dan klip video pada masa akan datang,” kata Alyah yang turut pernah berduet dengan Farawahida menerusi lagu Mengapa Harus Aku tahun lalu.



Jutaan Purnama

Melanjutkan bicara mengenai karier nyanyiannya, Alyah kini menunggu tarikh yang bersesuaian untuk melancarkan klip video bagi single terbaharu, Jutaan Purnama.

Memilih New Zealand sebagai lokasi penggambaran, Alyah meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu berentak balada yang ditulis oleh pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) baru-baru ini, Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Melihat kepada respons peminat, saya dapati mereka suka dengan Jutaan Purnama. Tambahan pula, lagu ini telah dijadikan runut bunyi bagi drama bersiri Red Velvet penghujung tahun lalu.

“Saya sangat berharap agar single ini dapat menaikkan kembali nama saya sama seperti era lagu Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa,” ujar isteri kepada meastro muzik tersohor, Datuk Ramli MS dalam nada jujur.

Sewaktu ditanya mengenai kerjasama perdananya dengan Hael, Alyah tersenyum, sambil mengimbau kembali kenangan lucu yang dilaluinya sekitar sesi rakaman berlangsung.

“Pada awalnya, saya tidak tahu bahawa lagu Jutaan Purnama ini hasil ciptaan bersama Hael dan Ezra. Setiap kali saya ke studio untuk merakamkan suara, Hael ada di situ dan memberikan input mengenai lantunan vokal.

“Saya agak pelik kerana menyangkakan lagu ini adalah ciptaan produser Omar K. Namun, selepas beberapa lama, baru Omar memberitahu, Hael merupakan tenaga kreatif di sebalik lagu tersebut.

“Patutlah Hael selalu bertanya bila saya mahu promosi lagu. Rupanya dia adalah pencipta lagu tersebut,” ujar Alyah sambil ketawa.

Dalam ledakan tawanya, Alyah masih sempat memuji Hael yang disifatkan sangat kreatif dalam menghasilkan lagu.

“Pada lirik bahagian korus, terdapat pengulangan kata ‘nya’ sebanyak empat kali dan 25 kali bagi keseluruhan lirik lagu.

“Saya menzahirkan pendapat kepada Hael dan meminta agar lirik ditukar sedikit. Dia enggan berbuat demikian.

Menurut Hael, perkataan ‘nya’ itu yang akan menaikkan lagu tersebut dan membuatkan khalayak mengingati Jutaan Purnama,” katanya yang turut terbuka untuk mendengar pendapat komposer muda.

Duta

Beralih kepada perkembangan lain, Alyah memberitahu, dia kini dilantik sebagai duta tudung jenama tempatan, Nuha Scarves yang baru memulakan operasi secara atas talian sekitar awal Januari lalu.

Menurut Alyah, dia bersetuju menerima tawaran bergelar duta kerana melihat potensi yang ada pada industri fesyen, khususnya pasaran tudung.

“Seperti perniagaan makanan, bisnes tudung juga tidak pernah surut. Ia semakin pesat berkembang.

“Melihat kepada potensi itu, saya bersetuju untuk mengikat kontrak bergelar duta kepada jenama Nuha Scarves. Tambahan pula, pemilik jenama berkenaan merupakan sahabat baik saya,” katanya.

Biarpun tawaran bergelar duta tudung biasanya disandang oleh selebriti yang berusia muda, namun Alyah tidak melihat kejanggalan tersebut sebagai satu masalah besar.

Jelas Alyah, hal ini disebabkan pengikutnya di Instagram terdiri daripada golongan wanita yang mempunyai kuasa membeli.

“Biarpun pengikut saya hanya sekitar 600,000 orang tetapi mereka mampu berbelanja. Saya pernah menjual baju-baju terpakai di Instagram dan selama tiga hari sahaja, saya mendapat pulangan sebanyak RM14,000.

“Jadi, mungkin disebabkan itu, pemilik jenama tudung berkenaan yakin untuk meletakkan saya sebagai duta produk mereka,” tutup Alyah.

Selepas lagu Engkau Milikku yang dipasarkan sekitar dua tahun lalu gagal meraih perhatian peminat, Alyah membuka lembaran baharu dengan mempertaruhkan single berentak balada berjudul Jutaan Purnama. Seperti merancang penulisan kertas kerja, Alyah berharap agar draf keduanya ini berjaya menambat hati peminat sama seperti apa yang pernah diraih menerusi lagu Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa.

Post a Comment

Previous Post Next Post